CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Ahmad Bilal Rahudin membentangkan sembilan tawaran khas PN untuk penduduk di kawasan berkenaan.
Tawaran-tawaran kepada DUN Serkam yang dikongsi melalui laman Facebook beliau malam ini adalah seperti berikut:
- Mengoptimumkan hasil pertanian dan perikanan serta hasil industri hiliran
- Menyediakan bantuan untuk nelayan berdaftar
- Mewujudkan hab dan akses pendidikan TVET secara berkualiti
- Dana khusus memperkasa koperasi usahawan wanita
- Meningkatkan penglibatan suri rumah, ibu tunggal dan OKU wanita dalam bidang keusahawanan
- Kemudahan sukan yang berkualiti untuk rakyat Melaka
- Pengurangan bayaran lesen perniagaan PBT dan sewa tapak sebanyak 50% kepada penjaja dan peniaga kecil
- Menaik taraf sistem saliran banjir dengan melaksanakan pelan pencegahan bencana banjir dan memperkasa perkhidmatan bekalan air bersih
- Meningkatkan infrastruktur hotspot wifi secara percuma.
Dalam hantaran berasingan, beliau turut berkongsi pandangan isterinya yang dikenali sebagai Ustazah Shahirah mengenai dirinya.
Ustaz Bilal Rahudin – seorang yang tidak asing bagi masyarakat Serkam. Beliau dikenali dengan sikap peramah dengan orang di sekelilingnya. Seluruh lapisan masyarakat selesa dan senang dengan beliau.
Semestinya peribadi graduan dari Yaman ini merupakan hasil tarbiyah daripada pengalaman berpencak dalam badan persatuan. Alhamdulillah, dalam usaha mengenali Ustaz Bilal baru-baru ini kami diberikan peluang untuk menemu ramah isteri beliau iaitu Ustazah Shahirah.
Menurut Ustazah Shahirah, pada zaman belajar, suaminya ditaklifkan dengan posisi Presiden Kesatuan Pelajar Yaman. Dengan taklifan tersebut beliau menggilap lagi kemahiran suaminya dalam kepimpinan.
Bak kata pepatah; “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pepatah ini kena dengan diri Ustaz Bilal. Beliau sejak di zaman belajar lagi sudah menceburi medan kepimpinan dan pengurusan.
Tiada medan yang lebih mematangkan diri seseorang selain daripada medan persatuan. Ia adalah medan yang di mana seseorang akan menghadapi pelbagai perkara yang akan membantunya membina sahsiah dan karakter.
Perjalanan beliau dalam medan persatuan tidak berakhir di peringkat menara gading sahaja. Seusai lengkap pengajiannya di Yaman, beliau meneruskan khidmatnya di tanah air.
Beliau berkhidmat dengan Dewan Pemuda Pas Negeri Melaka (DPPNM). “Ustaz selalu sibuk dengan program pemuda, selalu tiada di rumah”, kata Ustazah Siti Shahirah.
Leave a Reply