TUJUH keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas lapan unit rumah, termasuk satu yang tidak berpenghuni, musnah dalam kebakaran di kawasan berhampiran Jalan Sultanah Zainab, Kampung Sireh di Kota Bharu, awal pagi ini.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dah Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Abu Hassan Mohd Nawi, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 2.56 pagi.
Beliau berkata, setibanya di lokasi pada pukul 3.11 pagi, satu deretan lapan unit rumah kediaman didapati sedang terbakar kira-kira 80 peratus, dan api dilihat marak dengan pantas disebabkan bangunan rumah itu diperbuat daripada kayu papan lama.
“Seramai 41 pegawai dan anggota dari balai bomba Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Tunjong, Pasir Tumboh dan Pengkalan Kubor terlibat dalam operasi pemadaman, menggunakan sembilan jentera termasuk dua lori tangki, dan api dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 5.11 pagi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Sementara itu, salah seorang mangsa yang ditemui Muhammad Shaari, 21, berkata, pada mulanya beliau terdengar suara jeritan meminta tolong, dan sebaik sahaja keluar daripada rumah beliau mendapati beberapa unit rumah sudah terbakar dan api kelihatan cukup marak.
“Saya segera kejutkan ibu serta adik-adik yang sedang tidur di tingkat atas (rumah dua tingkat), dan sempat menyelamatkan diri dan keluarga, walaupun saya mengalami sedikit kecederaan di kaki sebelah kiri akibat terkena percikan api.
“Ketika ini kami sekeluarga diarahkan oleh penghulu kampung untuk menetap di taska yang berdekatan dengan rumah kami,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pagi ini. – BERNAMA
Leave a Reply