BADAN Perhubungan Pas Pulau Pinang menyokong tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menamatkan dan mengehadkan pemberian lesen penjualan arak dan lesen premis perjudian di negeri tersebut bermula tahun hadapan.
Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, inisiatif Kerajaan Negeri Kedah tersebut merupakan langkah terbaik dalam mengekang dan mengawal isu sosial serta masalah jenayah yang berleluasa melibatkan kumpulan jenayah terancang seperti kongsi gelap yang semakin membarah dalam masyarakat masa ini.
Sehubungan itu, Pas Pulau Pinang mempersoalkan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang disuarakan oleh Timbalan Ketua Menteri ll, Dr. P. Ramasamy yang membantah tindakan itu dengan alasan mengawal hak bukan Islam yang disifatkan sangat beremosi.
“Berdasarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada sesi lepas, jumlah pusat perjudian dan pusat penjualan arak berlesen dan tidak berlesen amat membimbangkan dan laporan menjelaskan ia mula menjadi industri yang semakin berkembang di negeri Pulau Pinang.
“Justeru, kami turut menggesa Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul mengkaji dan menjadikan tindakan Kerajaan Negeri Kedah ini sebagai langkah awal bagi mengurangkan lesen perjudian di negara ini, seterusnya dapat mengurangkan kadar jenayah di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Kerajaan Negeri Kedah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) mengumumkan tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri berkuat kuasa serta-merta.
Muhammad Sanusi berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco minggu lalu bagi mengelak mudarat yang lebih besar kepada penduduk.
Dalam pada itu tambah Muhammad Fauzi, Pas Pulau Pinang sekali lagi menegaskan bersama-sama dan menyokong usaha serta tindakan Kerajaan Negeri Kedah demi kepentingan Keluarga Malaysia dan masa depan generasi pemuda di masa hadapan.
Leave a Reply