Oleh RAHIMI MOHAMAD
SEORANG lagi pemimpin MCA Johor mendedahkan turut menerima ugutan oleh dalang di sebalik ancaman ahlong terhadap Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon.
Menceritakan perkara itu, Ketua Biro Aduan Awam Pasir Gudang, Lim Thow Siang berkata, dalang sebenar di sebalik ugutan berkenaan adalah seorang lelaki warganegara Singapura yang dikenali dengan nama panggilan ‘Sky’.
Beliau berkata, dia telah berurusan dengan lelaki yang dianggarkan berusia 30-an itu sejak lebih setahun lalu untuk menyelesaikan masalah dihadapi mangsa, namun hanya menerima ugutan itu, baru-baru ini.
“Lelaki itu membuat ugutan meminta kami tidak lagi menguruskan mangsa-mangsa yang menjadi sasaran mereka.
“Dia mengugut melalui panggilan suara dan beritahu akan membakar rumah saya sambil memaklumkan alamat kediaman peribadi saya di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Johor Jaya, Johor Bahru, hari ini.
Baru-baru ini, seorang lelaki dipercayai orang upahan ‘Sky’ yang membuat ugutan terhadap Jian Boon iaitu Teng Chee Sing, 34, dijatuhkan hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kulai kerana kesalahan berkenaan.
Sementara itu, ujar Thow Siang, sejak pandemik Covid-19 melanda negara lebih setahun lalu, Biro Aduan Awam MCA telah menerima lebih 50 aduan mangsa ahlong yang majoriti 80 peratus daripadanya membabitkan sindiket ahlong dari Singapura.
“Berdasarkan siasatan kami, sindiket ahlong Singapura itu menyasarkan rakyat Malaysia yang berada di republik itu khususnya atas tujuan kerja.
“Modus operandi mereka adalah memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun mangsa namun apabila mangsa ingin memulangkan wang berkenaan, sindiket terbabit meminta dua kali ganda daripada jumlah asal,” ujarnya.
Katanya, jika mangsa enggan membayar jumlah yang diminta, sindiket itu akan mengugut ahli keluarga mangsa yang berada di negara ini melalui panggilan telefon dan juga tindakan membaling cat.
Namun tegas Thow Siang, pihaknya akan terus membantu mangsa-mangsa yang menjadi sasaran sindiket ahlong walaupun berdepan ugutan pihak-pihak tertentu.
“Saya tahu masih ramai individu yang menjadi mangsa ugutan sindiket tetapi takut untuk mendedahkan diri, maka saya mengajak agar lebih ramai lagi tampil membuat laporan polis supaya jenayah ini dapat dihentikan.
“Saya sendiri sudah membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterima dan akan terus bersuara untuk membela mereka yang menjadi mangsa sindiket ini,” jelasnya.
Leave a Reply