SEORANG kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan seorang diri dalam keadaan berkunci di rumahnya, ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkap rumahnya di tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, hari ini.
Mayat kanak-kanak itu ditemukan seorang kakitangan badan pengurusan di koridor tingkat 8 kondominium tersebut pada pukul 2.41 petang.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa telah ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan di rumah oleh bapanya dalam keadaan pintu berkunci kerana keluar untuk membeli barang dan mendapati anaknya tiada di rumah selepas pulang.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tingkap di bilik mangsa dalam keadaan terbuka dan terdapat sebuah kerusi berada di tepi tingkap bilik tersebut.
“Tingkap di dalam bilik tersebut didapati tidak mempunyai jeriji dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah.
“Pihak pengurusan telah menghubungi ambulans dari Hospital Selayang dan kematian mangsa telah disahkan oleh pegawai paramedik yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mayat telah dirujuk ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Leave a Reply