JABATAN Imigresen menahan seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki menjadi dalang sindiket memalsukan pelbagai dokumen yang diagihkan kepada warga asing di Malaysia.
Suspek yang berusia 37 tahun itu dikatakan mengenakan bayaran di antara RM50 hingga RM300 bagi menyediakan dokumen palsu termasuk lesen memandu, pas lawatan kerja sementara (PLKS) dan visa negara asing.
Lelaki itu menjadikan bilik di sebuah kondominium sebagai makmal memproses dokumen palsu berkenaan sebelum kegiatannya dikesan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan menyerbu lokasi terbabit pada Jumaat lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pemeriksaan di kediaman terbabit menemui set peralatan komputer, mesin pencetak kad, pelbagai jenis cap perwakilan negara asing dan lain-lain peralatan yang digunakan dalam aktiviti haram terbabit.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui pelekat-pelekat PLKS, lesen memandu Malaysia dan visa negara asing siap dicetak dan disusun rapi dipercayai sedia diserahkan kepada pelanggan.
“Turut ditemui adalah stok pelekat yang masih kosong dan wang tunai berjumlah RM13,710 yang disyaki hasil jualan dokumen palsu berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, susulan tangkapan suspek membawa pasukan operasi ke sebuah kondominium lain di Jalan Genting Kelang yang turut disewa untuk kegiatan ini.
“Pemeriksaan di premis ini menemui cap PLKS dan lain-lain cap rasmi JIM palsu yang digunakan dalam pemalsuan dokumen.
“Modus operandi suspek adalah mengguna PLKS sebuah syarikat pembersihan sebagai lesen untuk bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang ini,”katanya.
Menurutnya, suspek juga dikesan menyewa beberapa kondominium mewah yang mempunyai akses terhad serta kawalan keselamatan ketat bagi menyukarkan siasatan dan dikesan pihak berkuasa.
“Sindiket ini dikesan menjalankan kegiatan sejak setahun lalu dengan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap pelekat PLKS bergantung kepada kualiti yang dikehendaki oleh pelanggan.
“Bagi lesen memandu, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM50. Kegiatan haram ini menyebabkan kerugian hasil kerajaan khususnya dalam bentuk bayaran levi pekerja asing hingga mencecah jutaan ringgit,” katanya.
Suspek kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan melanggar syarat pas.
Leave a Reply