132 menara telekomunikasi tambah baik rangkaian internet di Johor

Oleh RAHIMI MOHAMAD

MASALAH gangguan liputan internet di sesetengah kawasan di Johor berkemungkinan dapat diatasi dengan pertambahan 132 buah menara telekomunikasi baharu yang sedang dibina khususnya di kawasan luar bandar di seluruh negeri ini.

Ketua Bahagian Infrastruktur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bukhari Yahya berkata, penyediaan menara komunikasi baharu itu membabitkan di kesemua 10 daerah di Johor di bawah Fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Katanya, mengikut pelaksanaan di bawah Fasa 1 Pelan Jendela juga, sebanyak 101 menara komunikasi telah siap dibina sehingga Jun tahun lalu.

“Bagi peluasan liputan jalur lebar mudah alih di Johor, Fasa 1 Pelan Jendela yang bermula pada tahun lalu menyasarkan untuk membina sebanyak 233 buah menara telekomunikasi.

“Daripada jumlah itu, 101 daripadanya telah siap dibina sehingga Jun lalu manakala selebihnya dalam proses pelaksanaan.

“Selain itu, sejumlah 3,409 alat pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada perkhidmatan 4G dan 2,877 daripadanya telah pun selesai dinaik taraf sehingga Jun lalu,” katanya pada Taklimat Penerangan Liputan Internet dan Telekomunikasi Negeri Johor di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang.

Menurut Bukhari, Johor adalah antara negeri yang mempunyai capaian internet yang tinggi dan mendapat liputan yang meluas, malah capaian liputan mudah alih 4G di kawasan berpendudukan di negeri ini mencapai 98 peratus setakat suku ketiga tahun ini.

Tambahnya, SKMM turut mengambil maklum aduan yang diterima pihaknya berhubung masalah perkhidmatan komunikasi bagi mempercepatkan serta merancakkan pembangunan infrastruktur digital terutamanya di kawasan kampung di pinggir bandar dan luar bandar.

“SKMM turut menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau kemampuan rangkaian yang mampu bertahan susulan peningkatan trafik penggunaan internet kepada 71 peratus.

“Jumlah aduan yang diterima mengenai kualiti capaian internet yang teruk juga meningkat sehingga 70 peratus. Kita ambil maklum perkara ini dan akan ditambah baik dari masa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, SKMM turut membuat penambahbaikan capaian internet di bawah Fasa 1 Jendela membabitkan kawasan Felda di 60 kawasan Felda di negeri ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *