bersatu bahagian kangar diri sarawak kelantan melaka keluar

UMNO Johor ada agenda – Armada

Oleh RAHIMI MOHAMAD

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyifatkan cabaran agar Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu menarik sokongan dibuat kerana UMNO ada agenda yang tersendiri.

Ketua Armada Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, hal itu kerana ada pihak cemburu dengan kejayaan Presiden Bersatu itu semasa menjadi Perdana Menteri yang kini membuahkan hasil.

“Kejayaan demi kejayaan yang dibuktikan Tan Sri Muhyiddin sepanjang tempoh menerajui kepemimpinan negara termasuk perancangan teliti dalam menangani pandemik Covid-19 sudah membuahkan hasilnya.

“Jadi, apakah Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Datuk Nur Jazlan Mohamed cemburu segala kejayaan dan pencapaian cemerlang menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Tan Sri Muhyiddin.

“Tindakan kedua-dua pemimpin UMNO itu jelas sekali mahu memburukkan kewibawaan serta kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin menerusi momokan kenyataan provokasi dan bersifat populis semata-mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin sebelum ini mendedahkan, Bersatu tidak ada masalah untuk mengambil langkah drastik yang boleh menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terbubar.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan berbuat demikian kerana mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat negeri Johor.

Muhammad Shamsuddin Paijan

Mengulas lanjut, Muhammad Shamsuddin turut memberitahu, sepatutnya kedua-dua pemimpin UMNO itu menjunjung titah Sultan Johor yang mahu kestabilan dan kemakmuran politik Johor terjamin.

Kenyataan itu berikutan Shahrir yang kini Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru seolah-olah mencabar agar Bersatu Johor menarik sokongan terhadap kerajaan negeri bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan seperti di Melaka.

“Armada Johor yakin rakyat boleh menilai dengan bijak pemimpin yang ikhlas memastikan keselamatan dan kehidupan rakyat terus terjaga seperti dikatakan Muhyiddin iaitu memastikan setiap meja di rumah rakyat sekurang-kurangnya ada makanan untuk dimakan.

“Sehubungan itu, Armada Johor menggesa rakyat untuk menolak pemimpin tamak dan gila kuasa yang memperjudikan rakyat demi kepentingan peribadi mereka sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Shamsuddin berkata, Armada Bersatu Johor sentiasa bersedia dalam segala kemungkinan yang berlaku jika ada pemimpin UMNO yang cuba mengganggu gugat kestabilan dan kemakmuran negeri Johor khususnya.

“Seluruh anak muda Johor juga akan memastikan segala perkara yang boleh mengganggu gugat kemakmuran Negeri Johor akan ditentang habis-habisan,” tambahnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *