umno bersatu Faiz

Tidak termakan provokasi Shahrir, Bersatu Johor terus sokong kerajaan PN

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor memilih untuk tidak menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) yang akan mengakibatkan kerajaan negeri tumbang.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, pada masa ini semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu kekal menyokong kerajaan PN Johor dan tidak mahu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berlaku.

Tegas beliau, Bersatu Johor tidak akan termakan atau terpengaruh dengan provokasi Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mencabar mereka untuk menarik sokongan terhadap Menteri Besari, Datuk Ir. Hasni Mohammad

Jelasnya, ADUN Bersatu Johor tidak akan bertindak melulu sebaliknya sebarang keputusan dibuat mengikut kebaikan jangka masa panjang dan bukan berdasarkan emosi atau provokasi.

“Ini kerana kita memikirkan kesejahteraan rakyat dan bukan sebaliknya. Kalau bubar, kita (Bersatu) banyak kehilangan, tiada jawatan Exco, tidak ada apa tetapi bukan kerana itu, kita fikirkan kesinambungan kerajaan untuk membantu rakyat.

“Fikir panjang, sekurang-kurangnya sehingga apabila tiba masanya (Pilihan Raya Umum),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Sesi Roadshow Pasca RMK-12 di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri.

Mohd. Solihan Badri

Pada 12 November lalu, Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru menerusi hantaran dalam Facebook miliknya menulis, UMNO Johor bersedia menghadapi PRN jika PN mahu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri itu.

Sehari selepas itu, Pengerusi PN, Tan Seri Muhyiddin Yassin menyifatkan veteran UMNO itu sebagai ‘bodoh’ dan ‘tidak bertanggungjawab’ kerana mencabarnya mengarahkan ADUN Bersatu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Johor yang diketuai UMNO.

Muhyiddin yang menyifatkan kenyataan Shahrir itu juga berniat jahat berkata, beliau boleh menyahut cabaran Shahrir itu dengan hanya dengan menekan ‘satu butang’ dan kerajaan Johor akan jatuh.

Komen bekas Perdana Menteri itu dijawab Shahrir menerusi Facebook miliknya semalam dengan berkata, pembubaran Dewan Rakyat mahupun DUN perlu mengikut Perlembagaan dan bukan semudah ‘tekan butang’ sahaja.

Mengulas lanjut, Mohd. Solihan berkata, tindakan Shahrir yang memprovokasi Muhyiddin turut tidak disenangi segelintir ahli UMNO dan perkara itu disampaikan kepada pihaknya terutama berhubung pertikaian kedua-dua pemimpin politik veteran berkenaan.

“Bukan sahaja kami (Bersatu) tetapi orang UMNO Johor juga tidak puas hati dengan kenyataan dibuat Shahrir, dia tu orang tua, yang berpengalaman dan sepatutnya tidak berfikir singkat sedemikian dengan mencabar kita.

“Memang betul kata Tan Sri Muhyiddin kalau dia arah kita untuk tarik sokongan, kita orang parti. Tapi kita pilih untuk tidak berbuat

seperti itu kerana di sini Johor lain, kita tak nak buat macam tu. Rakyat lantik kita untuk kita berkhidmat, itu sebab utama,” katanya.

Mohd. Solihan yang juga ADUN Tenang mendakwa, tindakan Shahrir adalah kerana tidak mempunyai sebarang jawatan hanya mahu menonjolkan dirinya dalam mencari publisiti murahan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *