SEORANG wanita meninggal dunia selepas motosikal yang diboncengnya bersama-sama suami terbabas selepas terlanggar seekor babi melintas di Kilometer 2 Jalan Air Mawang-Renggoh, Kuala Pilah, hari ini.
Kejadian berlaku pada pukul 8.15 pagi semasa Norlela Mohamed Sharif, 35, membonceng motosikal jenis Suzuki Smash ditunggang suaminya, Karim Amrullah Ab. Maid, 40, ke tempat kerja.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Ghani berkata, Norlela maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala Karim juga mengalami cedera parah di kepala dan dibawa ke Hospital Tampin.
“Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri tersebut dari rumah mereka di Kampung Melekai, Johol menuju ke tempat kerja di kedai makan di Kampung Air Mawang.
“Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian, motosikal mereka telah melanggar seekor binatang dipercayai babi yang sedang melintas menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh di atas jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Pilah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply