MAJLIS Syura Ulamak Pas mengambil mengalu-alukan tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui oleh Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghentikan kelulusan lesen premis judi di seluruh negeri Jelapang Padi itu melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
Dalam kenyataan majlis tersebut berkata, tindakan dalam ruang lingkup kuasa yang ada pada kerajaan negeri itu selaras dengan kaedah Fiqh yang menyebut “sesuatu yang tidak dapat dilaksanakan semua tidak ditinggalkan sebahagian besar daripadanya”.
‘’Ia juga merupakan satu usaha yang sangat baik bagi menghalang kemudaratan harta dan sosial berlaku kepada rakyat. Malah, Majlis Syura Ulamak menyeru rakyat dan kerajaan tidak lagi menjadikan judi sebagai sumber pendapatan dan ekonomi bagi mengekang dan memerangi ‘ekonomi gelap’,’’ kata kenyataan itu hari ini.
Majlis Syura Ulamak juga mengalu-alukan keputusan Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri yang mengehadkan penjualan arak kepada masyarakat bukan Islam sahaja khususnya di kawasan PBT yang tiada permintaan ke atas minuman keras.
‘’Hal ini kerana fakta menunjukkan bahawa arak menjadi salah satu punca kemalangan maut akibat pemandu mabuk serta memberikan implikasi kehilangan nyawa dan kecederaan bukan sahaja kepada mangsa bahkan keluarga selain kepentingan awam,’’ kata kenyataan tersebut.
Selain itu Majlis Syura Ulamak Pas juga menegaskan, tiada mana-mana agama di dunia ini yang membenarkan penganutnya berjudi dan Islam pula melarang keras umatnya terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan arak dan judi.
‘’Majlis Syura Ulamak sentiasa mendokong usaha baik mana-mana pihak bagi melahirkan masyarakat yang lebih aman, makmur dan terhindar dari segala musibah yang berpunca daripada arak serta judi,’’ kata kenyataan tersebut.
Leave a Reply