Maritim Johor

Komuniti marin terlibat jenayah membimbangkan

Oleh RAHIMI MOHAMAD

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bimbang lebih ramai komuniti marin terlibat dalam jenayah rentas sempadan di Selat Melaka khususnya di kawasan perairan Johor Barat.

Ini berikutan kejadian jenayah terbabit didorong oleh desakan hidup setelah mereka terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Lebih membimbangkan apabila warga tempatan yang menjadi tali barut kepada kegiatan sindiket itu yang berperanan sebagai transporter dan spotter mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd. Amin berkata, jenayah rentas sempadan lazimnya didalangi sindiket yang memperguna warga tempatan sebagai ejen-ejen jenayah terbabit.

“Sekiranya perkara ini tidak ditangani secara cekap dan strategik melalui pendekatan kesedaran, penguatkuasaan dan hukuman, ia akan menjadi barah dalam masyarakat,” katanya pada sidang akhbar Op Redback ke-16, Johor Bahru, hari ini.

Hamid berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan kegiatan penyeludupan migran ke negara ini susulan pembukaan semula sektor ekonomi yang memerlukan ramai pekerja asing.

Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd. Amin

Katanya, perkara itu turut menjadi kebimbangan agensi terbabit setelah ramai masyarakat setempat yang bertindak menjadi penghantar untuk menghantar pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Ibu kota.

“Ada besar kemungkinan (peningkatan penyeludupan migran) setelah negara kita menjadi tumpuan dan menjanjikan banyak peluang pekerjaan (pasca Covid-19).

“Nasihat kami kepada mereka yang bertindak sebagai ejen sindiket ini untuk tidak terlibat sebaliknya melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa. Kami faham rakyat terkesan pandemik, tetapi ini bukanlah caranya, bantu kami tangani jenayah ini,” katanya.

Difahamkan individu yang berperanan sebagai penghantar boleh menerima bayaran sekurang-kurangnya RM3,000 bagi setiap migran yang dibawa masuk dan spotter turut menerima upah dadah bagi membantu sindiket rentas sempadan.

Sejak awal tahun sehingga kini, Maritim Johor telah menahan seramai 115 PATI dan membuat rampasan dadah seberat 142 kilogram (kg) berjumlah RM7.1 juta.

Sementara itu, ujar Hamid, Op Redback ke-16 yang merupakan kerjasama antara Maritim Malaysia dan Australian Border Force (ABF) akan menitikberatkan elemen komunikasi strategik dalam menyedarkan masyarakat agar menghentikan penglibatan dalam jenayah seperti penyeludupan manusia, dadah dan barangan terlarang.

Operasi itu merupakan satu inisiatif kerjasama antara kedua-dua agensi tersebut dalam usaha mengekang, membanteras dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan melalui kawasan perairan sejak 2013.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *