“DARI kecil hingga dewasa, saya membesar di Ujong Pasir dan Padang Temu, malah belajar di Sekolah Kebangsaan Ujong Pasir selama enam tahun,” kata Datuk Wira Mohd. Rafiq Naizamohideen.
Sehubungan itu, calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi kerusi Telok Mas ini mengutamakan soal pembangunan ekonomi, kebajikan, pendidikan dan pelancongan untuk diberi perhatian sepenuhnya di situ.
Selaku anak tempatan, tentunya agenda memajukan Telok Mas menjadi tumpuannya demi keselesaan penduduk dan pengunjung ke kawasan itu.
Calon berusia 35 tahun itu berkata, sebagai calon anak tempatan, beliau gembira menerima reaksi positif daripada penduduk yang ditemui di surau, masjid, gerai, warung dan sahabat handai.
“Ayah dan ibu saya pernah berniaga di kedai runcit di sini (Ujong Pasir) selama tujuh tahun, selain berniaga sebagai pembekal gas memasak selama 10 tahun di Taman Jaya Padang Temu.
“Bertanding di kawasan ini mewakili PN ibarat sirih pulang ke gagang, sekali gus keputusan tepat buat diri saya untuk membangunkan Telok Mas,” katanya, memetik laporan BH, hari ini.
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Johor (Bersatu) Melaka itu mengakui, penduduk di situ sudah lama menanti pemimpin anak tempatan dari Telok Mas.
“Jika saya diberi peluang oleh warga Telok Mas dan seluruh rakyat Melaka pada PRN kali ini, Insya-Allah kerajaan PN yang dibentuk sedaya upaya memahami aspirasi rakyat seperti mana kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Persekutuan.
“Kerajaan di bawah Muhyiddin sebelum ini banyak memberi perkhidmatan yang terbaik dan prihatin rakyat.
“Jadi, PN Melaka akan sedaya upaya mengembali dan memulihkan semula ekonomi negeri ini, termasuk kebajikan, kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan penduduk, terutama di Telok Mas,” katanya.
DUN Telok Mas menyaksikan saingan empat penjuru, dengan Mohd. Rafiq dicabar Datuk Abdul Razak Abdul Rahman daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (Pakatan Harapan) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, DUN Telok Mas dimenangi oleh Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dengan majoriti 1,288 undi.
Leave a Reply