Ucapan Ismail Sabri bagaikan ‘menjawab tuduhan’ Najib terhadap Muhyiddin

ANALISIS

‘KEGAGALAN’ masih lagi menjadi modal kepada pemimpin-pemimpin UMNO khususnya Datuk Seri Najib Tun Razak untuk ‘menyerang’ Perikatan Nasional.

Terbaru bekas Perdana Menteri yang kini kerap ‘bercuti’ di Melaka itu berkata, Muhyiddin sepatutnya melihat kembali rekod buruknya ketika mentadbir negara.

Ahli Parlimen Pekan itu juga membentangkan beberapa perkara yang dianggap kegagalan Muhyiddin sepanjang 17 bulan menjadi Perdana Menteri termasuklah soal ekonomi dan pengurusan Covid-19.

Najib membidas Muhyiddin melalui catatan dalam Facebooknya hari ini tetapi hari ini juga secara kebetulan ketika Najib menuduh Muhyiddin gagal, ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagaikan menjawab tuduhan Najib.

Ismail Sabri yang menjadi Menteri Kanan Pertahanan ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri menegaskan, fokus utama kerajaan untuk membendung penularan pandemik Covid-19 mula membuahkan hasil berkat kerjasama semua pihak dan pelaksanaan strategi yang berkesan.

Perdana Menteri juga menegaskan, bagaimana Program Imunisasi Covid-19 (PICK) yang dilaksanakan pada Februari lalu sehingga kini berjaya memberi vaksin kepada lebih 95 peratus populasi dewasa dan lebih 65 peratus populasi remaja setakat 2 November.

Ismail Sabri menyifatkan ia game changer (pencetus perubahan) yang menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan ekonomi dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial termasuk pergerakan rentas negeri.

Beliau juga memberitahu, bilangan kes jangkitan harian Covid-19 juga berjaya diturunkan dan memberi kelegaaan kepada rakyat petugas hadapan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata sejak pandemik Covid-19 melanda negara, lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi diperkenalkan kerajaan bertujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dengan membantu usahawan memulihkan perniagaan mereka.

Beliau berkata indikator awal kejayaan pakej-pakej itu terlihat apabila pertumbuhan ekonomi negara berkembang 7.1 peratus pada separuh pertama 2021.

“Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi diunjurkan berkembang antara tiga hingga empat peratus tahun ini dan terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus berpaksikan asas ekonomi yang kukuh selain kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi dan keteguhan prospek ekonomi dan perdagangan dunia,” katanya.

Siapa Perdana Menteri yang memperkenalkan PICK? Siapakah Perdana Menteri yang melaksanakan pakej rangsangan?

Soalnya adakah Najib tahu atau buat tak tahu bahawa apa yang dicapai hari ini adalah hasil perancangan dan strategi Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri sebelum beliau terpaksa meletakkan jawatan apabila Najib bersama 14 lagi ahli Parlimen termasuk sahabat baik Najib, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap Muhyiddin

Adakah tindakan itu dilakukan kerana Najib sudah tahu hasil yang akan dicapai melalui apa yang dilaksanakan oleh Muhyiddin? Kalaulah Ismail Sabri sendiri tidak teragak-agak menyebut semua program yang dilaksanakan ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri sehingga Malaysia berada pada tahap sekarang, apa hal Najib masih ‘meroyan’ bercakap soal kegagalan?

Adakah Najib mulai terasa populariti ‘Abah’ semakin membayangi ‘bossku’ di Melaka? Kalau mahu bercakap soal rekod buruk rasanya rekod Najib lagi buruk apabila di bawah kepemimpinan beliau, Barisan Nasional hilang kuasa selepas 61 tahun – ini barulah kegagalan sebenar!

Justeru nasihat penulis kepada Najib fikir dulu sebelum berhujah kerana bimbang nanti orang kata, bagaikan ‘ayam jantan yang berkokok berderai-derai, tapi ekor bergelumang tahi!’


Comments

One response to “Ucapan Ismail Sabri bagaikan ‘menjawab tuduhan’ Najib terhadap Muhyiddin”

  1. Rizal Ahmad Avatar
    Rizal Ahmad

    Betul n setuju.adik sendiri dh meluah dlm buku n on air

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *