Op hiburan

Pintu tutup tapi ada pesta dalam premis hiburan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TAKTIK sebuah pusat hiburan di Taman Molek, Johor Bahru cuba memperdaya pihak berkuasa dengan menutup pintu depan dan belakang premis tidak berjaya selepas dapat dikesan dan diserbu malam tadi.

Serbuan dilakukan pada pukul 10.30 malam dan selesai pukul 12.30 tengah malam melibatkan dua pegawai dan 10 anggota dari Balai Polis Seri Alam selepas melakukan intipan dan siasatan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pemerhatian polis mendapati hanya pelanggan sahaja dibenarkan masuk dengan kenderaan mereka diletak di belakang bangunan.

“Taktik ini untuk menunjukkan bahawa tidak ada aktiviti hiburan di premis tersebut.

“Kita periksa di bahagian belakang dan ketuk pintu untuk dibuka tetapi diabaikan dan kita dengar bunyi yang sangat kuat daripada dalam dan ada aktiviti hiburan yang sedang berlangsung.

“Apabila pihak polis berjaya masuk ke dalam kita mendapati seramai 55 individu berada di dalam premis ini yang mana satu penjaga,empat pekerja dan selebihnya pelanggan membabitkan 32 lelaki dan 18 wanita,” katanya ketika ditemui selepas serbuan itu.

Serbuan dilakukan pada pukul 10.30 malam dan selesai pukul 12.30 tengah malam melibatkan dua pegawai dan 10 anggota polis

Jelasnya, seorang pelanggan merupakan individu yang dikehendaki dalam kes penipuan di Bukit Martajam pada tahun lalu berumur 30-an.

Sohaimi berkata, sebanyak RM296,000 kompaun dikeluarkan polis dan seorang pelanggan juga gagal menunjukkan imbasan kod MySejahtera.

“Tindakan yang diambil adalah kompaun sebanyak RM25,000 ke atas penjaga premis,manakala pelanggan dan pekerja RM5,000 seorang dan individu yang gagal mengimbas MySejahtera pula tambah lagi RM1,500,” katanya.

Kesemua yang ditahan merupakan lelaki dan perempuan warga tempatan dibawa ke Balai Polis Johor Jaya untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak polis tiada sebarang kompromi kepada mana-mana individu atau pengusaha pusat hiburan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP). Jika kita lihat sekarang ini pusat hiburan memang tidak dibenarkan beroperasi.

Tambahnya, kebanyakkan premis pusat hiburan yang ingkar mengambil kesempatan menutup kesemua pintu masuk dan merahsiakan daripada orang lain dan hanya mereka tertentu dibenarkan masuk.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *