TIADA prinsip dan menjadi dalang sebenar terhadap kejatuhan Kerajaan Melaka sehingga menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa dilaksanakan adalah dua sebab utama mengapa para pengundi di negeri itu perlu menolak Pakatan Harapan dan DAP.
Menurut Timbalan Pengerusi Pakatan Nasional, Datuk Dr. Dominic Lau, keempat-empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diketuai oleh Datuk Seri Idris Harun tidak akan berani bertindak menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tanpa sokongan Pakatan Harapan (PH) dan DAP di belakang mereka.
Beliau yang juga Presiden Gerakan menjelaskan, perkara ini terbukti apabila PH menjadikan dua daripada mereka iaitu Idris dan Datuk Azman Hasan sebagai calon di bawah bendera PKR dalam PRN Melaka walaupun sebelum ini parti itu dan DAP dengan lantang mengumumkan tidak akan menyokong mereka.
“Ketika ada ura-ura bahawa empat ADUN berkenaan akan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, DAP yang paling awal membuat pengumuman tidak akan menyokong mereka.
“Tetapi hari ini lihat siapa yang bersama dengan Idris Haron? Jelaslah PH dan DAP adalah parti yang tidak ada prinsip,” kata beliau ketika berucap dalam program pentas PRN Melaka yang disiarkan secara langsung di laman-laman Facebook utama parti-parti komponen Pakatan Nasional (PN), malam tadi.
Program yang diterajui oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut disertai oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Progresif Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad.

Dalam pada itu, Dr. Dominic turut berkata, slogan ‘demi rakyat’ yang diberikan oleh keempat-empat ADUN berkenaan ketika menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka merupakan satu alasan yang tidak benar.
Dakwa beliau, mereka bertindak demikian atas kepentingan diri masing-masing dan bukannya untuk rakyat.
Tambah Dr. Dominic, untuk Idris pula, bekas ADUN Sungai Udang itu didakwa beliau mengidamkan jawatan Ketua Menteri Melaka sepertimana yang dapat didengar dalam rakam rakaman audio perbualan suara mirip beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tular baru-baru ini.
“Cuba fikirkan, apa lagi alasan mereka sangup bertindak menjatuhkan kerajaan Melaka pada ketika negara sedang dilanda wabak Covid-19 dan jumlah kes jangkitan masih tinggi?
“Ini norma baharu dalam arena politik negara yang mana ahli parti sanggup menumbangkan kerajaan yang diketuai oleh pemimpin dari parti mereka sendiri,” kata beliau.
Justeru, Dr. Dominic menyeru agar para pengundi di Melaka berfikir sebaik-baiknya sebelum membuang undi pada 20 November ini.

Beliau menasihatkan mereka untuk menolak PH dan DAP sebagai tanda protes terhadap sikap mereka yang tidak berprinsip dan menjadi punca sebenar di belakang tindakan keempat-empat adun berkenaan menjatuhkan kerajaan Melaka.
PRN Melaka terpaksa diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Leave a Reply