Bayi rentung

Imam kedua maut, seorang jemaah parah dilanggar kereta imam pertama

IMAM pertama sebuah surau di Taman Bukit Kajang, Kajang, Kuala Lumpur, hilang kawalan sebelum kereta dipandunya melanggar imam kedua surau tersebut dalam kejadian pada jam 6.30 pagi semalam.

Insiden tersebut berlaku di pekarangan surau tersebut selepas mangsa yang juga pesara berusia 78 tahun dan rakannya yang juga pesara berusia 76 tahun baru selesai menunaikan solat Subuh berjemaah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa berada di pekarangan surau ketika dilanggar kereta Perodua Myvi dipandu imam pertama itu.

“Ketiga-tiganya baru selesai solat Subuh dan mahu pulang ke rumah masing-masing di Taman Kajang Jaya.

“Dua mangsa berada di pekarangan surau ketika pemandu Perodua Myvi mengundurkan keretanya dari bahagian lot parkir sebelum terlanggar sedikit bahagian belakang sebuah kenderaan lain.

“Akibat pelanggaran itu, imam pertama berusia 76 tahun itu panik lalu menggerakkan kenderaannya ke hadapan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua mangsa yang berada di hadapannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, imam kedua itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa mengalami patah lutut kanan dan patah pergelangan kaki kiri dikejarkan ke hospital dengan ambulans .

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu kenderaan masing-masing.

“Bagi pemandu sudah berusia, mungkin ada keperluan untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka masih boleh mengendalikan kenderaan dengan baik,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *