CALON Ketua Menteri Melaka dari Perikatan Nasional (PN) yang bakal diumumkan sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini adalah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan soal calon Ketua Menteri Melaka itu dalam sidang media di Bemban, Melaka, hari ini.
“Kita akan umumkan, kenapa kita ambil masa? Itu strategi kita. Kita tak boleh umum awal. tapi tak umum langsung pun tak boleh.
“Mesti ada calon. Ramai sebenarnya yang layak dan boleh jadi Ketua Menteri. Jadi, tak jadi masalah kepada kita.
“Sewajarnya kerana Bersatu mempunyai sejumlah kerusi yang besar, dan kami diberikan kepercayaan oleh rakan-rakan parti PAS dan Gerakan, Ketua Menteri itu akan datang dari Bersatu,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata satu badan pemantau akan dibentuk bagi memantau kemajuan manifesto PN yang telah digariskan dan memastikan ia ditunaikan.
“Sebab kita bukan PH (Pakatan Harapan), PH janji bulan dan matahari tapi bila tak boleh tunai, Tun M cakap manifesto bukan kitab suci.
“Kita tak boleh bohong pada rakyat, apa kita janji kita mesti tunaikan,” katanya.
Mengulas tentang strategi meletakkan Dr Mohd Yadzil Yaakub sebagai calon DUN Bemban iaitu kawasan yang dianggap kerusi tradisi parti bukan Melayu, Muhyiddin berkata, tiada isu yang timbul.
Malah, menurut beliau, langkah itu merupakan strategi PN dengan meletakkan seorang tokoh profesional yang banyak berjasa di kawasan tersebut.
“Walaupun ada kata (kerusi) ini tradisinya MCA, DAP, saya tak takut kerana saya yakin di atas tahap kematangan pengundi,” jelasnya.
Muhyiddin turut menjangka Dr Mohd Yadzil sebagai calon terbaik dan yakin dengan kemampuan beliau untuk menang di DUN Bemban.
Berhubung Bilik Gerakan PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang ditutup kerana terdapat kes positif COVID-19, Muhyiddin mengesahkan perkara itu.
Tambah beliau, bilik gerakan akan ditutup dan lokasi sementara akan dibuka untuk gerak kerja jentera di DUN itu.
Leave a Reply