terbakar

Maut selepas bantu sedarkan sepupu mengenai kebakaran

Oleh RIZQI ZABIDI

Seorang lelaki sempat berbakti buat kali terakhir untuk sepupunya dengan membantu mengetuk pintu rumah keluarga berkenaan yang sedang terbakar, sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di Kampung Hutan Betut, Mergong di Alor Setar, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, individu berkenaan, Mohamad Nazri Mohammad Saad, 48, dikatakan terlebih dulu bertindak sedemikian bagi menyedarkan sepupunya bahawa rumah mereka sedang terbakar.

Selepas itu, dia difahamkan merasa tidak sedap badan dan berehat di bawah pokok berhampiran sungai sebelum terjatuh ke dalam sungai tersebut.

Anggota bomba memadam kebakaran dan semua tujuh penghuni rumah dua tingkat tersebut selamat

Situasi itu disedari penduduk kampung yang segera bertindak mengeluarkannya dari sungai sebelum dibantu anggota bomba yang tiba ke lokasi kejadian tidak lama kemudian.

Tindakan anggota bomba yang turut memberi bantuan pernafasan kepadanya bagaimanapun tidak dapat menyelamatkan lelaki itu yang disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lama selepas itu.

Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 5.32 pagi.

Selain rumah,tujuh kenderaan turut terbakar iaitu lima kereta dan dua motosikal

“Kesemua tujuh penghuni rumah dua tingkat itu selamat namun difahamkan terdapat seorang mangsa yang meninggal dunia selepas jatuh ke dalam sungai dekat situ.

“Selain rumah, ada tujuh lagi kenderaan yang turut terbakar iaitu lima kereta dan dua motosikal,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *