Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) menekankan supaya usaha berlipat ganda, pantas, bersepadu dan mengikut keutamaan dilakukan bagi meningkatkan ekonomi negara.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana prospek ekonomi negara bagi suku tahun ketiga dan keempat untuk 2021 menunjukkan bahawa ekonomi masih dalam keadaan mencabar.

Bekas Perdana Menteri itu memberitahu, perkembangan tersebut dimaklumkan dalam mesyuarat MPN kali kelima yang diadakan pada pagi ini.

“Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin memberikan taklimat mengenai kedudukan prestasi sektor dan sub-sektor ekonomi.

“Indikator-indikator menunjukkan prestasi ekonomi pada Suku Tahun Kedua, 2021 masih lagi di bawah paras pra-pandemik untuk hampir kesemua sektor ekonomi kecuali sektor pembuatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu katanya, menerusi mesyuarat itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah turut memberikan taklimat mengenai perkembangan terkini indikator-indikator berkaitan Covid-19.

Secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan perkembangan yang dicapai khususnya daripada segi tren penurunan kes-kes positif harian, kes kematian, kemasukan kes Covid kategori 3 hingga 5 ke hospital.

Jelasnya, ini termasuk kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa yang mencapai 95 peratus dan remaja pada 76.7 peratus ada masa ini.

“Namun kita masih perlu kekal berwaspada dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sementara kerajaan meneruskan pemberian suntikan vaksin kepada yang belum menerima vaksin atau belum lengkap dandos penggalak,” katanya.

Mesyuarat juga katanya, telah dimaklumkan tentang perkembangan terkini berkaitan penambahbaikan keberkesanan pengesanan kontak atau melalui penerapan teknologi yang telah dipersetujui dalam mesyuarat MPN bilangan 2, 2021.

Penambahbaikan itu ujarnya, sangat penting sebagai satu kaedah pengawalan penularan Covid-19 susulan pembukaan kegiatan ekonomi dan sosial serta sedang menuju fasa endemik.

Katanya, penambahbaikan itu telah bermula secara berfasa dan MPN bersetuju pelaksanaan secara menyeluruh dibuat selewatnya Januari 2022.

“Lanjutan daripada perbincangan mengenai keperluan tenaga kerja dalam mesyuarat majlis yang lepas, mesyuarat pada hari ini telah mendapat taklimat berhubung status pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja Asing daripada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee.

“Majlis mengambil maklum langkah-langkah penambahbaikan program rekalibrasi yang akan dilaksanakan Jabatan Imigresen yang boleh membantu mengurangkan isu kekurangan tenaga kerja dihadapi pelbagai sektor ekonomi,” ujarnya.

Tambahnya, mesyuarat juga mengambil maklum situasi sektor pelancongan negara yang menyaksikan pemulihan agak perlahan disebabkan ketiadaan pelancong antarabangsa memasuki negara ini selain operator sektor itu memerlukan masa untuk memulakan perniagaan mereka.

“Mengambil kira tahap pencapaian program vaksinasi negara yang amat baik, mesyuarat hari ini memutuskan supaya sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022 bagi mempercepatkan pemulihan bagi sektor pelancongan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here