
SEBAGAI seorang bekas guru, isu pendidikan amat dekat di hati calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Aziah Mohd Sa’ad.
Sehubungan itu, beliau menanam tekad untuk memperjuangkan isu tersebut agar penduduk di kawasan berkenaan tidak tercicir dari segi pendidikan
“Kuala Linggi ini kedudukannya berdekatan laut dan pantai, dan pekerjaan penduduk di situ kebanyakannya sebagai nelayan. Kehidupan di laut dan pantai tidak sama seperti masyarakat lain di bandar kerana mereka banyak menghabiskan masa di laut sebagai nelayan.
“Ada anak-anak nelayan yang membantu ibu bapa mereka menjadi nelayan, kadang-kadang mereka tidak ke sekolah sebab malam sudah letih turun tangkap ikan.
“Ia menyebabkan anak-anak di Kuala Linggi lemah dalam pendidikan sekali gus kesedaran terhadap pentingnya pendidikan terus diabaikan. Lalu bagaimana anak-anak ini akan menjadi harapan untuk mengubah kehidupan keluarga jika mereka terperangkap dalam situasi seperti ini,” katanya seperti dipetik dari laporan Harakahdaily.
Aziah yang berpengalaman menjadi guru selama 35 tahun memberitahu, pendapatan nelayan tidak seberapa apatah lagi yang membeli hasil tangkapan itu adalah peraih yang menyediakan perahu dan petrol.
Beliau menambah, sudah tentu peraih mengambil kesempatan membeli hasil tangkapan dalam harga yang tidak berbaloi dengan keringat nelayan yang mempertaruhkan nyawa di lautan untuk hasil tangkapan ikan.
Menurut wanita berusia 60 tahun itu, kehidupan ekonomi golongan nelayan Kuala Linggi tidak begitu bernasib baik malah ada anak-anak nelayan yang mewarisi pekerjaan bapa mereka sebagai nelayan kerana tidak cemerlang dalam pendidikan.
Sehubungan itu, Aziah berhasrat memartabatkan pendidikan anak-anak nelayan Kuala Linggi supaya tidak lagi ketinggalan dengan pelajaran kerana hanya dengan pendidikan akan membantu mengubah kehidupan keluarga.
“Selain itu masalah di Kuala Linggi menjejaskan pendapatan nelayan disebabkan tambakan laut yang dibina untuk mengawal hakisan pantai.
“Nelayan tidak lagi boleh tangkap ikan tapi kita cubalah cara lain macam mana nak bangkitkan ekonomi nelayan di situ mungkin boleh perbanyakkan tanaman fertigasi.
Dari riak wajah Aziah, beliau sangat komited untuk memperjuangkan nasib ibu tunggal dan ibu yang ditinggalkan suami yang turut menjadi satu isu berat di matanya.
Beliau melihat isu itu sangat serius kerana kalangan suami kepada ibu yang ditinggalkan ramai yang terlibat dengan masalah penagihan dadah.
“Apabila ketua keluarga yang sepatutnya memperjuangkan kehidupan anak-anak dan isteri terlibat dengan masalah penagihan dadah, ia cenderung menyumbang kepada masalah sosial.
“Anak-anak terbiar, ibu diceraikan dan ibu ditinggalkan gantung tidak bertali.
“Saya tahu kerana saya ada slot setiap hari Jumaat bersama NGO untuk ibu tunggal, bila kita tanya sebenarnya apa yang berlaku di Kuala Linggi dia kata banyak kes berkaitan penagih dadah, bila banyak kes begini maka banyaklah ibu-ibu dan isteri-isteri diceraikan dan anak pun terbiar.
“Di Kuala Linggi, ada asrama untuk anak-anak yatim tetapi jadi tempat untuk anak-anak terbiar yang maknanya bapanya seorang penagih.
“Saya pernah ziarah seorang ibu yang suaminya penagih dadah, anaknya tidak bersekolah. Disebabkan isu sebegitu kita nampaklah masalah yang berlaku di Kuala Linggi,” jelasnya.

Leave a Reply