KEJAM, hajat seorang wartawan wanita untuk melahirkan anak di hospital tidak kesampaian apabila dia bersama-sama suaminya maut dalam satu serangan bom kereta yang berlaku di Yemen.
Wartawan wanita itu dan suaminya yang juga seorang wartawan maut dalam serangan bom yang disasarkan kereta yang dinaikinya mereka, pada Selasa.
Menurut sumber keselamatan kerajaan Yemen, peranti letupan yang dipasang pada kenderaan wartawan yang bernama Mahmud al-Atmi itu meletup ketika dia membawa isterinya, Rasha Abdallah ke hospital untuk bersalin.
Rasha, 27, dan suaminya yang mempunyai anak berusia dua tahun, pernah bekerja di beberapa syarikat media tempatan dan asing sebelum ini.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Bagaimanapun serangan itu dipercayai didalangi pemberontak Houthi yang disokong Iran.
Wartawan Yemen kerap menjadi sasaran serangan Houthi dalam perang saudara di Yemen sejak 2014 yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan yang buruk.
Puluhan ribu penduduk dan orang awam pula terbunuh manakala jutaan lagi hilang tempat tinggal sejak konflik tercetus
Tindakan Houthi menguasai bandar Sanaa menyebabkan kerajaan Yemen yang disokong antarabangsa memindahkan pentadbiran mereka ke Aden.
Tindakan pemberontak itu juga mendorong pembentukan pakatan tentera negara tertentu diketuai Arab Saudi untuk menyekat kemaraan mereka. – AGENSI
Leave a Reply