PRN Melaka : Zahid janganlah takut bayang-bayang…

ANALISIS

KELAKAR jugak apabila Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengundi Melaka supaya tidak tersalah pilih lambang biru selain Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN)  itu yang kini berada di Munich, Jerman menjalani rawatan tulang belakang membuat hantaran dalam Facebook mengingatkan orang Melaka jangan terperdaya dengan parti politik yang turut menggunakan lambang biru seakan-akan BN yang disifatkan beliau sebagai cetak rompak kerana hasilnya pasti mendukacitakan.

Semua orang tahu, Ahmad Zahid mahu menyindir Perikatan Nasional yang kini dilihat menjadi ‘ancaman politik’ kepada BN yang ditolak oleh rakyat selepas 61 tahun memerintah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sepatutnya Ahmad Zahid tidak perlu bimbang kerana berbanding Perikatan Nasional, usia Barisan Nasional jauh lebih lama , semua orang malah budak sekolah pun tahu lambang biru dan simbol Barisan Nasional macam mana.

Jadi tidak mungkin pengundi Melaka akan keliru antara lambang dan warna Barisan Nasional dengan Perikatan Nasional. Yang berada dalam ‘keliru’ mungkin Ahmad Zahid sendiri kerana mungkin sudah menerima khabar bagaimana penerimaan orang Melaka terhadap calon-calon pilihan beliau  dalam PRN tersebut setakat ini.

Justeru mungkin  untuk ‘menutup kesilapan’ pemilihan calon yang beliau lakukan, maka awal-awal lagi kekeliruan lambang biru dilontarkan supaya ia boleh dijadikan alasan jika BN gagal menawan Melaka kerana kesilapan memilih calon terutama di DUN ‘panas’.

Begitu juga apabila beliau berkata, kalau pilih lambang biru yang dianggap cetak rompak itu hasilnya pasti mendukacitakan. Sebenarnya, itulah propaganda politik yang dilakukan oleh Barisan Nasional ketika Kerajaan Perikatan Nasional berkuasa di peringkat pusat dahulu.

Yang pasti dan sudah terbukti tanpa perancangan rapi yang dilakukan oleh Kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selama 18 bulan dalam menangani pandemik Covid-19 negara tidak akan berada dalam keadaan sekarang, mungkin Ahmad Zahid pun tidak berada di Jerman ketika ini.

Apa yang dinikmati sekarang sehingga negara semakin meloloskan diri daripada pandemik tersebut dan rakyat dapat meneruskan aktiviti seperti biasa adalah hasil usaha yang dilakukan oleh Muhyiddin dan Kerajaan Perikatan Nasional.

Kini apabila PRN Melaka berlangsung dan Perikatan Nasional berpeluang memberi penjelasan kedudukan sebenar, Ahmad Zahid dan Barisan Nasional bimbang rakyat akan tahu apa yang berlaku.

Jika itu bukan maksudnya, maka Ahmad Zahid tenang-tenang sahaja di Jerman, janganlah dilihat takut bayang-bayang. Beri kepercayaan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan menguruskan jentera Barisan Nasional di Melaka dan serah kepada rakyat Melaka menentukannya.

Jangan bimbang, pengundi Melaka tidak ‘buta warna’ dan mereka juga ‘tidak buta’ untuk melihat kebenaran bagi menilai siapa yang bertanggungjawab ‘menyeret’ mereka keluar mengundi ketika pandemik Covid-19 masih mengancam disebabkan pergolakan politik dalaman.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *