PERIKATAN Nasional (PN) mampu membuat kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika kena dengan strategi pemujukan terhadap pengundi.
Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, kerusi-kerusi marginal seperti Lendu, Taboh Naning, Gadek, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Kelebang, Rim dan Merlimau akan jadi penentu siapa yang akan mendominasi takhta 20 November nanti.
“Semua kerusi tersebut dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti kurang 1000 undi, sedikit peralihan pengundi akan merubah keputusan, bakal menjadi rebutan hangat antara parti-parti yang bertanding, serta berpotensi menentukan siapa yang akan keluar sebagai pemenang PRN Melaka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Pada masa yang sama, beliau berpandangan, PN juga masih boleh berharap kepada populariti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertungkus lumus turun berkempen untuk PRN Melaka.
Mohd Yusri berkata, sepanjang mentadbir kerajaan dahulu, populariti Muhyiddin sebagai Perdana Menteri agak tinggi.
Menurut beliau, PN boleh menggunakan Muhyiddin untuk cuba mengutip sebanyak mungkin undi daripada pelbagai segmen yang wujud untuk memberi saingan bermakna untuk membuat kejutan, atau sekurang-kurangnya mengumpul cukup undi sebagai semangat untuk menuju PRU-15 nanti.
“Sehingga kini jentera kempen PN agak ghairah, ini sedikit sebanyak akan memberi momentum kepada mereka untuk menyaingi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),” jelasnya.
Selain itu, katanya, keputusan pemilihan naib presiden dan ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat dalam muktamar hujung minggu lepas yang menyaksikan kemenangan majoriti pimpinan pro-PN juga bakal menambahkan lagi tonik kempen PN di Melaka.
Sementara itu, Mohd Yusri memberitahu, PH pula dibelenggu oleh beberapa ancaman dan ketidakpastian seperti tahap sokongan semasa pengundi etnik Cina, kesediaan keluar mengundi pemilih Cina serta cabaran mengekalkan peralihan pengundi Melayu yang diperolehi pada 2018.
“Walaupun hampir sepenuhnya etnik Cina memberi undi kepada PH dalam PRU-14, namun bermula Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai etnik Cina mula menjauhi PH disebabkan beberapa isu ketidakpuasan hati, situasi tersebut terus terbawa ke PRK DUN Slim selepas itu,” ujarnya.
Berhubung BN pula, beliau berpandangan, kempen BN sedikit terencat apabila mereka tidak memiliki tokoh berkaliber untuk dinamakan sebagai Ketua Menteri.
Menurut beliau, sama ada Datuk Seri Sulaiman Md Ali atau Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kedua-duanya tidak mempunyai aura mencukupi untuk dijadikan modal besar oleh BN.
“Begitu juga prestasi memimpin kerajaan sekitar 19 bulan sebelum ini juga tidak banyak membantu, polisi dan prestasi kerajaan pimpinan UMNO sepanjang tempoh tersebut tidak meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Melaka.
“Walaupun kerajaan yang diketuai oleh Sulaiman tersebut adalah kerajaan campuran PN, tetapi rakyat menilai prestasi kerajaan tersebut sebagai kerajaan BN kerana diketuai oleh UMNO dan majoriti anggotanya daripada BN,” katanya.
Leave a Reply