MESKIPUN membesar dalam keluarga ‘orang politik’ namun bagi calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu Mohd Azrudin Md Idris, bertanding buat kali pertama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) merupakan cabaran baharu dalam hidupnya.
Mohd Azrudin, 40, dari Bersatu berkata antara cabaran ketara yang dihadapinya ialah terpaksa berkempen dalam norma baharu ekoran situasi penularan COVID-19 namun demi memenuhi hasrat untuk membantu rakyat, beliau tekad menempuh apa juga cabaran.
Beliau merupakan anak kepada veteran politik Hazizah Mohd Sultan, 74, yang aktif dalam dunia politik sejak 1970-an serta pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Wanita UMNO Melaka, Ahli Dewan Negara dan wakil rakyat Tangga Batu.
“Dalam bidang politik ini, dah jadi macam turun-temurun… mungkin darah politik itu ada tetapi sebenarnya penglibatan saya lebih untuk membantu rakyat. Saya rasa seronok bila dapat membantu menyelesaikan masalah mereka terutama golongan susah… tengok senyuman mereka, saya rasa gembira dan seronok.
“Ia pengalaman pertama saya bertanding dan saya serius menceburi bidang politik berbanding sebelum ini… agak mencabar dan saya berharap dapat sambutan positif daripada penduduk dalam DUN Pengkalan Batu khususnya pengundi di kawasan ini,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan yang dilanda banjir kilat di Jalan Kampung Pulau Kelapa Bukit Baru hari ini.
Ahli perniagaan itu berkata beliau berpegang kepada prinsip integriti untuk menyelesaikan masalah penduduk di DUN Pengkalan Batu terutama isu banjir kilat yang kerap berlaku.
Beliau berkata beberapa kawasan di DUN itu seperti Kampung Pulau Kelapa, Kampung Sarang Helang, Batu Hampar dan Kampung Pasir Puteh banjir biasanya berlaku lebih tiga kali setahun yang menyebabkan kerugian harta benda kepada penduduk.
“Apa yang kita lihat ialah isu banjir kilat ini perkara berulang…. saya juga menerima aduan daripada golongan muda terutama pelajar berkaitan akses Internet yang agak perlahan walhal DUN Pengkalan Batu terletak di kawasan bandar dan kita kini dah ke arah penggunaan optik gentian,” katanya.
Mengulas pendekatan kempennya, Mohd Azrudin berkata media sosial merupakan antara medium yang digunakan bagi mendekati pengundi selain mengedar risalah berkaitan misi dan visinya ke rumah mereka.
Beliau berdepan saingan lima penjuru menentang Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas), Datuk Kalsom Noordin (Barisan Nasional), Muhamad Danish Zainudin (Pakatan Harapan) dan Dr Mohd Aluwi Sari (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Pengkalan Batu dimenangi Norhizam (DAP) yang bertanding atas logo PKR dengan majoriti 2,756 undi menewaskan Chua Lian Chye (Barisan Nasional) dan Ramli Dalip (PAS).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov ini manakala undi awal pada 16 Nov ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt selepas empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Melaka mempunyai 28 DUN dan 495,195 pengundi berdaftar. – BERNAMA
Leave a Reply