Felda di Negeri Sembilan jadi ‘port’ penagihan dadah – Polis

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mengenal pasti kawasan Felda menjadi antara sarang aktiviti penyalahgunaan dadah di Negeri Sembilan yang menyumbang 30 peratus daripada keseluruhan tangkapan berkaitan dadah di negeri itu pada tahun ini.

Ketua JSJN Negeri Sembilan, Superintendan Mohd. Faisal Mohd. Noor berkata, pengedar dadah menjadikan kawasan Felda yang berada di pedalaman sebagai tempat untuk mereka mengedar dadah.

“Lagipun di kawasan Felda banyak laluan tikus yang memudahkan mereka mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Sebab itulah tumpuan kita sekarang adalah di kawasan Felda dan JSJN Negeri Sembilan turut melancarkan operasi jihad dadah sepanjang tahun ini yang mana sebanyak empat serbuan dilakukan melibatkan daerah Seremban, Tampin, Jelebu dan Jempol,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pelupusan Barang Kes Dadah 2021 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Seremban, hari ini.

Menurutnya, daripada operasi dilakukan seramai 162 individu telah ditahan iaitu 14 adalah pengedar, memiliki dadah (28), penagih (21) manakala dikenakan waran tangkap (82).

Selain itu katanya, berdasarkan statistik, seramai 4,334 individu telah ditangkap bagi tempoh Januari hingga Oktober membabitkan pengedar seramai 1,298, memiliki dadah (734) dan penagih (2,303).

Katanya, seramai 80 individu pula ditangkap mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 dan 238 individu mengikut Seksyen 39 C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi tempoh sama.

“Jumlah anggaran keseluruhan nilai rampasan dadah adalah RM2.64 juta dan nilai sitaan aset-aset sebanyak RM5.5 juta.

Mengulas berkenaan pelupusan dadah, beliau berkata, dadah pelbagai jenis dan peralatan memproses dadah bernilai RM23.5 juta akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam, di sini.

“Pelupusan barang kes dadah ini adalah yang sudah selesai perbicaraan dan masih tersimpan di stor membabitkan 1,469 kertas siasatan bagi tahun 2020 dan 2021,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *