Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SERAMAI 12 individu ditahan termasuk tujuh warga asing dalam serbuan di sebuah premis yang menjalankan perkhidmatan seks songsang luar tabii di Taman Pelangi, Johor Bahru, kelmarin.
Serbuan pukul 9.30 malam itu dilakukan cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bersama-sama anggota dari Balai Polis Taman Pelangi IPD Johor Bahru Selatan.
Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam serbuan yang sama, seorang lelaki berusia 30 tahun mengaku bekerja sebagai penjaga premis turut ditahan.
“Lelaki itu gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah. Hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis itu, polis menahan dua lelaki tempatan dan tujuh lelaki warganegara asing berumur dalam lingkungan 20 tahun hingga 40 tahun yang bekerja sebagai tukang urut.
“Turut ditahan dalam serbuan tersebut dua lelaki tempatan berumur 25 tahun dan 32 tahun yang disyaki sebagai pelanggan untuk mendapatkan khidmat urut dan seks,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Raub, pelbagai peralatan yang dipercayai bagi kegunaan khidmat urut dan seks dirampas antaranya dua tuala, botol minyak urut (2), kondom pelbagai jenama (6), tiub pelincir (1), kertas mempunyai catitan aktiviti pekerjaan (1), gambar iklan lelaki (4) dan wang tunai sebanyak RM139.
“Semakan rekod pergerakan keluar dan masuk ke Malaysia terhadap tujuh warganegara asing yang ditahan mendapati salah satu daripadanya tidak mempunyai pasport perjalanan yang sah.
“Kesemua yang ditahan dan dikompaun, penjaga premis sebanyak RM10,000, manakala pelanggan dikompaun sebanyak RM 2,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 4,” katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 3 (1) Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (UUKTPP), Seksyen 372 B Kanun Keseksaan dan 55B Akta Imigresen dan 6 (1) (c) Akta Imigresen.
Leave a Reply