Ziyad

Ziyad tidak akan terima ganjaran RM1 juta: KBS

by

in

JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tidak akan menerima ganjaran RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) susulan penyertaannya dibatalkan di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketetapan dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu bukan sebagai hukuman kepada atlet berkenaan susulan terlepas peluang mempertahankan pingat emas pada temasya itu Ogos lepas.

Ahmad Faizal tanpa mendedahkan secara terperinci berkata, beberapa pihak telah menawarkan untuk memberi ganjaran kepada atlet berusia 31 tahun itu sebagai menghargai pengorbanan dan usahanya di temasya sukan berkenaan.

“KBS memutuskan tiada ganjaran yang akan diberikan kepada Muhammad Ziyad menerusi SHAKAM.

“Namun saya akan berhubung dan berbincang dengan Muhammad Ziyad tentang ganjaran yang tidak ada kena mengena dengan peruntukan kewangan kerajaan,” katanya pada sidang media Majlis Sambutan Hari Integriti dan pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi peringkat KBS 2021 di Menara KBS di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia, pada temasya berkenaan sekali gus gagal mengulangi kejayaan diraih pada edisi Sukan Paralimpik Rio 2016.

Beliau diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start (DNS)’ atau tidak bermula susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine, yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik panggilan sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus, memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Minggu lepas, sebuah jawatankuasa siasatan dalaman dilantik bagi merungkai isu melanda Muhammad Ziyad di Sukan Paralimpik Tokyo itu, merumuskan atlet tersebut dan jurulatihnya tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu ditetapkan di bilik panggilan.

Hasil daripada sesi temu bual serta dokumen diperoleh jawatankuasa itu mendapati tiada kelibat Muhammad Ziyad dan jurulatihnya Mohd Faizol Harun pada waktu ditetapkan walaupun mereka mendakwa tiba sebelum tamat waktu pendaftaran di Bilik Panggilan Satu, Stadium Olimpik Tokyo. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *