Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sentiasa memantau dan meneliti keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka sejak dibuka semula pada 3 Oktober lalu.
KPM dalam satu kenyataan memberitahu, dapatan daripada pemantauan dan penelitian menunjukkan bahawa pengoperasian sekolah berjalan lancar dan teratur mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.
“Setelah mengambil kira dapatan ini serta situasi semasa pandemik Covid-19, KPM memutuskan kehadiran murid pada kali ini tidak dilaksanakan secara berperingkat namun mengekalkan kaedah penggiliran.
“Institusi pendidikan bawah KPM turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat,” menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan hari ini.
KPM memaklumkan, kemasukan murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah serta kelas peralihan dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah adalah pada 21 November 2021 bagi Kedah dan 22 November 2021 bagi Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah.
Jelas KPM, kehadiran murid dalam kumpulan tersebut di sekolah harian adalah mengikut kaedah penggiliran manakala kehadiran murid di sekolah asrama sepenuhnya adalah tanpa penggiliran.
“Perincian mengenai kemasukan murid sekolah asrama sepenuhnya akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa atau penjaga” katanya.
KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.
Leave a Reply