Penghantar makanan, pemandu ambulans antara 62 penagih dadah ditahan

JABATAN Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut
menahan 62 individu dalam Op Sarang selepas terlibat kes penyalahgunaan dadah di sekitar daerah Timur Laut, Georgetown, hari ini. 

Ketua JSJN Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mereka terdiri daripada 59 lelaki dan tiga wanita berusia antara 21 hingga 60 tahun.

Beliau memberitahu, turut ditahan seorang penghantar makanan berusia 39 tahun dan pemandu ambulans berusia 53 tahun.

“Op Sarang yang bermula pukul 12 tengah malam tadi hingga pukul 3 petang ini digerakkan sekumpulan enam pegawai dan 31 anggota daripada JSJN Pulau Pinang serta IPD Timur Laut di bawah Program Jihad Dadah yang dilancarkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah pada 18 Ogos lalu. 

“Operasi ini dijalankan di sekitar kawasan Sungai Nibong; Bandar Baru Air Itam; Pulau Tikus dan Tanjung Tokong serta sekitar pusat bandar Georgetown. 

“Antara yang ditahan dalam operasi itu ialah seramai lapan tokan jalanan serta masing-masing 27 orang yang memiliki dadah dan penagih,”  katanya dalam sidang akhbar, di Georgetown, hari ini. 

Katanya, polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 400 gram (g) bernilai RM14,000; 16.68g syabu (RM1,670) dan 0.67g ketamin (RM100) dengan nilai keseluruhan rampasan RM15,770. 

Kebanyakan yang ditahan ini merupakan penagih tegar dan sudah beberapa kali ditahan polis, katanya. 

“Sehubungan itu, kita akan meneruskan operasi sebegini pada masa depan dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)  dalam memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah dan memperkasa penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Mustafa Kamal berkata, polis Pulau Pinang sepanjang tahun ini setakat semalam telah melakukan sebanyak 27 Op Sarang dengan seramai 480 tangkapan. 

Secara keseluruhan pula tambahnya, operasi pencegahan penyalahgunaan dadah lain turut berjaya menahan seramai 6,597 orang iaitu 1,723 pembekal dadah; memiliki dadah (3,594) dan penagih tegar (1,280) sejak awal tahun ini hingga semalam. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *