SETIAUSAHA Antarabangsa DAP, Teo Nie Ching mengaku beliau tersilap apabila menggunakan bingkai ‘Lahabau Melaka’ pada gambar profil laman Facebook miliknya.
Ahli Parlimen Kulai itu turut meminta maaf atas kesilapan menggunakan perkataan yang dianggap kasar itu untuk membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Nie Ching juga memberi alasan bahawa beliau tidak memahami maksud sebenar perkataan ‘lahabau’.

“Berikutan larangan ketat berkempen, hampir semua kempen untuk PRN Melaka terpaksa dilaksanakan melalui media sosial.
“Dalam keghairahan kempen media sosial ini, ramai petugas Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, hampir tak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen.
“Namun, manusia tidak pernah lepas daripada kesilapan, termasuk diri saya sendiri. Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial.
“Saya cuma ingin berkempen melalui ‘frame’ percuma yang boleh didapati di dalam facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut.
“Dengan ini, saya dengan penuh rendah hati, memohon maaf atas kekhilafan menyiapkan dan memuatnaikkan bahan kempen yang telah tersalah menggunakan bahasa.
“Saya berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini dalam memuatnaikkan bahan-bahan kempen media sosial untuk PRN Melaka.
“Dengan menyusun sepuluh jari memohon maaf buat semua, terutamanya rakyat dan pengundi Melaka,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Beliau telah menukar gambar profil tersebut dengan yang lain namun tangkap layar bingkai ‘Lahabau Melaka’ telah pun tular dalam media sosial.
Ramai netizen kesal kerana penggunaan perkataan itu dilihat amat tidak sesuai dan boleh menyinggung perasaan rakyat Melaka.
Leave a Reply