Oleh RIZQI ZABIDI
Tiga remaja perempuan cedera dalam kejadian kepala air yang berlaku di pusat rekreasi terkenal, Lata Bayu di Baling, Kedah petang semalam.
Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5 petang semalam yang turut mengakibatkan beberapa pokok tumbang.
Dalam kejadian itu katanya, sebuah kereta dan sebuah motosikal telah dihempap oleh sebatang pokok balak yang tumbang.
“Terdapat tiga pengunjung cedera terkena dahan pokok yang tumbang itu. Seorang daripadanya merupakan remaja perempuan berusia 13 tahun yang patah kaki di bahagian buku lali kiri.
“Dua lagi merupakan remaja berusia 15 dan 16 tahun yang mana kecederaan mereka masih belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, remaja berusia 13 tahun itu dibawa ke Hospital Baling manakala dua lagi mangsa dibawa ke Hospital Sungai Petani untuk menerima rawatan.
“Pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah menutup pusat rekreasi Lata Bayu dan Lata Hijau yang berada di bawah kawalan jabatan tersebut.
“Orang ramai dinasihati tidak mengunjungi pusat-pusat rekreasi air terjun di Baling ketika ini kerana kawasan tersebut berisiko tinggi dilanda kepala air.
Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk mematuhi peraturan dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Leave a Reply