SEHARI selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan senarai calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sudah kedengaran suara tidak berpuas hati dalam kalangan pemimpinnya di negeri itu.
Salah seorang yang menyuarakan keluhan secara terbuka dalam Facebook ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah.
Beliau yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong tidak masuk dalam senarai.
Sebaliknya, BN meletakkan Mohd Noor Helmy Abd Halem dan bukannya Haryaty yang merupakan tokoh lebih popular.
Haryaty memberitahu, beliau yang kini berusia 42 tahun dimaklumkan ‘masih terlalu muda’ walaupun mempunyai pengalaman dan latar belakang pendidikan yang cukup.
“Saya malas nak ulas tentang ‘masih muda’ ni. Hmmm…) Habis daya usaha sama ada sendiri / sahabat-sahabat yang prihatin untuk membantu membolehkan saya tercalon. Tidak berjaya.
“Biarpun ada ketua yang boleh berfungsi seperti payung. Tapi, payung itu tidak berfungsi. Tidak tau di mana silapnya. . . Saya bukan kroni…
“Kerana itu jika ada yang kata, UMNO menawarkan ‘calon nenek vs cucu’. Itu bentuk realitinya…” katanya.
Beliau juga seolah-olah mempertikaikan kriteria yang digunakan oleh UMNO dan BN untuk memilih calon.
“Saya akui tidak pandai menjadi sesumpah, tidak secantik Cleopatra, tidak melobi setengah mati,” jelasnya.
Haryaty turut menggalakkan para pemimpin dan ahli Wanita UMNO supaya berani bersuara agar mereka tidak ‘dipijak’.
“Jika untuk wanita menjadi calon, dikatakan terlalu muda. Tapi untuk menjadi ‘jentera’ dikatakan pada saya… Wanitalah sebenarnya keris UMNO! Bahaya dan berkemampuan….
“Teruslah bekerja wanita… Teruslah bekerja… Tapi jangan lupa bersuara. Kalau tidak dipijaknya kita. Habuan diagih sesama mereka sahaja nanti…” katanya.
Pada PRN Melaka, hanya empat pemimpin Wanita UMNO yang dinamakan sebagai calon iaitu Datuk Kalsom Nordin (Pengkalan Batu), Tuminah Kadi (Pantai Kundor), Datuk Khaidirah Abu Zahar (Rim) dan Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai).
Leave a Reply