banjir kedah PPS

Banjir Kedah: 821 mangsa, 217 keluarga di PPS

Oleh RIZQI ZABIDI

SETAKAT pukul 12 tengah hari tadi, seramai 821 mangsa banjir terdiri daripada 217 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di Kedah.

Ketua Bahagian Sekretariat Bahagian Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd. Muaz Mohd. Yusof berkata, daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 519 individu dari 138 keluarga.

“Terdapat enam PPS dibuka di Kota Setar iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kuala, SMK Convent, Sekolah Kebangsaan (SK) Convent, SK Darul Hikmah, SK Suka Menanti dan SK Langgar.

“Mangsa teramai ditempatkan di SMK Convent iaitu berjumlah 163 orang dari 44 keluarga diikuti 114 individu dari 31 keluarga di SK Darul Hikmah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tiga lagi daerah yang terlibat adalah Sik, Pendang dan Pokok Sena.

Mengulas lanjut katanya, daerah kedua yang paling teruk terjejas adalah Pendang dengan 281 mangsa dari 74 keluarga masih ditempatkan di dua PPS iaitu di Dewan Cenderawasih dan Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah.

“Di Sik cuma ada 17 keluarga dari empat keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu di SK Sik dan SK Chepir.

“Manakala di Pokok Sena hanya ada satu saja PPS yang masih dibuka iaitu di SK Tualang melibatkan empat individu dari satu keluarga,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *