BATALION 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) didalangi seorang tekong darat warga tempatan tumpas di Kampung Sungai Janggut, Kuala Selangor, semalam.
Menerusi Op Benteng Covid-19 tersebut, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 5 pagi.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Rizal Mohamed berkata, hasil pemeriksaan lanjut membongkar kegiatan penyeludupan itu.
“Kita berjaya mengesan seramai 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada 38 lelaki dan 22 wanita berusia lingkungan 16 hingga 51 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rizal berkata, operasi dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor itu mendapati kesemua individu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan iaitu jalan laut menggunakan bot.
“Turut dirampas sebuah kenderaan, dua unit telefon bimbit serta wang tunai RM147 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM61,400,” ujarnya.
Beliau memberitahu, semua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Jeram untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Permerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua tangkapan akan menjalani ujan saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan juga petugas polis,” jelasnya.
Leave a Reply