HERO Bukit Kepong, Tan Sri John Joe Raj atau lebih dikenali sebagai J.J. Raj (Jr) meninggal dunia pada usia 100 tahun di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Ara Damansara pad pukul 1.55 pagi tadi akibat serangan jantung.
Kematian bekas Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disahkan disahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan, hari ini.
“Jasa dan bakti yang pernah dicurahkan oleh Tan Sri J.J. Raj (Jr.) sangat besar dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada pasukan dan negara,” katanya.
Mendiang yang terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor pernah mengetuai Skuad Harimau (Tiger Squad) untuk menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas komunis, sewaktu era darurat pada tahun 1950.
Pertempuran pengganas komunis dengan sepasukan anggota polis di Balai Polis Bukit Kepong itu merupakan antara tragedi hitam yang tersemat dalam sejarah negara.
Tragedi pada 23 Februari 1950 itu yang turut dikenali sebagai The Malayan Alamo menyaksikan bagaimana sebuah balai polis terpencil di Bukit Kepong musnah di tangan komunis.
Balai Polis Bukit Kepong ketika itu diketuai Sarjan Jamil Mohd. Shah, terletak kira-kira 59 kilometer dari bandar Muar.
Balai polis tersebut pula berada di bawah kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pagoh yang diketuai J.J. Raj (Jr).
Selepas tragedi itu, mendiang dilantik sebagai Pengarah Pengurusan, Bukit Aman pada tahun 1974 sebelum menjalani persaraan wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Pesuruhjaya Polis.
Jasad mendiang akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Shah Alam untuk diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan orang ramai, petang ini.
Mendiang meninggalkan empat orang anak serta tiga cucu, isterinya, Puan Sri Irene Raj meninggal dunia pada 2007.
Leave a Reply