Air pasang

Hari kedua fenomena air pasang besar di Kuala Kedah, penduduk bimbang

Oleh RIZQI ZABIDI

FENOMENA air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Kedah antaranya kampung-kampung dan kawasan pekan yang menempatkan jeti untuk ke Pulau Langkawi, dinaiki air untuk tempoh beberapa jam kelmarin dan semalam.

Tinjauan Warta Rakyat di kawasan terjejas mendapati, air laut melimpah ke darat selama beberapa jam sejak pukul 11 malam, sebelum surut beberapa jam kemudian mengakibatkan beberapa rumah penduduk turut ditakungi air.

Menurut penduduk Kampung Seberang Kota, Asiah Din, 58, keadaan itu menyebabkan mereka perlu mengambil langkah berja-jaga pada waktu malam dengan keadaan itu dijangka berterusan hingga Isnin depan.

“Sejak dua malam lalu, saya bersama anak-anak hanya mengangkat barangan ke tempat-tempat tinggi. Apabila air surut kelmarin pun, kami sekadar mengeluarkan sisa-sisa air dari rumah.

“Memang kami tak bersihkan semua sebab fenomena air pasang besar ini dijangka berlaku hingga 8 November. Apabila selesai semuanya nanti, barulah kami bersihkan rumah secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui pemberita, awal pagi tadi.

Sementara itu Pegawai Bahagian Operasi dan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kota Setar, Leftenan (PA) Muhammad Hilmi Yaakob berkata, tinjauan pihaknya mendapati keadaan di kebanyakan kawasan masih terkawal.

“Kebanyakan kawasan dinaiki air pada paras 0.5 hingga 0.7 meter. Arus air yang naik ke dara juga dilihat tidak terlalu laju di kebanyakan kawasan.

“Sehingga awal pagi ini, masih tiada yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. Namun kami berharap semua pihak akan terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan masing-masing terjamin,” katanya.

Menurutnya, tinjauan dilakukan dalam tempoh dua hari ini mendapati air laut naik ke darat untuk tempoh selama kira-kira tiga jam sebelum kembali surut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *