Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG penghuni pusat pemulihan dadah dan akhlak swasta di Changlun, Kedah, maut hanya beberapa jam selepas dikasari seorang individu dipercayai warden di situ, semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa yang berusia 31 tahun pada awalnya dilaporkan bertindak melarikan diri dari pusat pemulihan tersebut kira-kira pukul 3 pagi.
Begitu pun katanya, ahli jawatankuasa pusat pemulihan tersebut berjaya menemukannya dalam tempoh setengah jam kemudian, tidak jauh dari situ.
“Mangsa kemudiannya dibawa pulang ke pusat pemulihan tersebut. Bagaimanapun kira-kira pukul 11 pagi, datang seorang warden lelaki berusia 46 tahun yang bertindak memukul dan menendangnya.
“Tindakan itu dipercayai dilakukan kerana warden tersebut marah kepada mangsa kerana melarikan diri. Warden tersebut bagaimanapun berjaya ditenangkan oleh pelatih lain daripada terus memukul mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kira-kira pukul 6.15 petang katanya, mangsa bagaimanapun didapati pengsan di tempat mandi.
“Dengan bantuan beberapa individu lain, warden berkenaan membawa mangsa ke hospital Jitra. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya.
Tambahnya, suspek telah ditahan semalam dan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini untuk direman.
“Perintah reman telah dikeluarkan selama tujuh hari kepada suspek untuk membantu siasatan. Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Leave a Reply