SEORANG warga Bangladesh dan isterinya warga Indonesia ditahan dalam serbuan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana terlibat kegiatan memalsukan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Lelaki berusia 30 tahun dan isterinya berusia 44 tahun itu ditahan di sebuah kondominium mewah, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi penguatkuasaan itu adalah siri operasi Op ID Hack bagi menghapuskan sepenuhnya saki-baki kumpulan itu yang masih beroperasi dan memburu warga asing yang menggunakan PLKS palsu daripada sindiket ID Hack.
“Lelaki terbabit adalah pemborong dan penjual peralatan komputer di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota ini.
“Dengan hanya menggunakan PLKS palsu ID Hack, dia mampu menyewa sebuah kedai dan berjaya meraih keuntungan berlipat ganda hasil perniagaan berkenaan selain menyewa sebuah unit kondominium mewah sebagai kediaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan dan soal siasat, lelaki berkenaan turut menyamar sebagai warga Pakistan bagi mengaburi mata pelanggan.
“Lelaki berkenaan dikenali sebagai Ali dalam kalangan warga Pakistan dan sebagai Munsi Jewel oleh warga Bangladesh di sekitar ibu kota ini.
“Pemeriksaan menemui wang tunai sebanyak RM162,077 di dalam kediaman lelaki terbabit dan isterinya,” katanya.
Beliau berkata, suami isteri itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1953/63 (Akta 155).
“Mereka ditahan mengikut Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 51(3) akta sama.
“Mereka akan ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.
Leave a Reply