Ketua JSPT Kedah meninggal dunia

Oleh RIZQI ZABIDI

KETUA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah, Superitenden Chuah Seong Lim, 59, meninggal dunia pada pukul 8.55 pagi tadi di Hospital Pantai Pulau Pinang.

Menerusi kenyataan dikeluarkan dalam laman Facebook Polis Kedah, pemergian pegawai kanan polis itu disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat pasukan.

Menurut kenyataan tersebut, mayat mendiang akan dibawa ke Taiping Perak untuk disemadikan.

Sementara itu Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi Warta Rakyat memaklumkan, mendiang baru selesai menjalani pembedahan jantung semalam.

“Memang saya terkejut dan terkesan dengan kehilangannya kerana beliau merupakan seorang pegawai yang baik.

“Baru-baru ini beliau ada berhubung dengan saya dan Chuah ada menyatakan supaya semua pihak mendoakannya agar selamat menjalani pembedahan itu,” katanya.

Bercakap mengenai peribadi mendiang, Kamarul berkata, Chuah merupakan seorang individu yang gemar memberi nasihat baik kepada para pegawai mahu pun anggotanya.

“Dia seorang yang disenangi semua pihak di semua peringkat. Pemergiannya sememangnya menjadi satu kehilangan buat kami dan saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga beliau,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *