Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
MENGIYSTIHARKAN muatan lori kosong sebelum berjaya meloloskan diri membawa muatan tayat tidak bercukai kastam semasa pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Ismail (BSI), Johor Bahru.
Itu modus operandi dilakukan satu sindiket membawa masuk tayar seludup dari Singapura sebelum dibawa untuk dijual di pasaran tempatan terutama di negeri-negeri di bahagian utara.
Tayar seludup pelbagai saiz tersebut dipercayai dijual pada separuh harga harga atau mengikut harga pasaran semasa.
Sindiket itu tumpas apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan sebuah lori yang sarat membawa muatan tersebut di Plaza Tol Kempas di sini pada 28 Oktober lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan itu dilakukan pada jam 1 petang selepas sepasukan anggota daripada unit risik PPM melakukan pemantauan dan intipan di CIQ BSI.
PPM katanya, melakukan pemantauan dan intipan terhadap lori berkenaan di CIQ BSI sebelum mengekorinya dan pada pukul 5.35 petang sebelum membuat serbuan di Plaza Tol Kempas dan menahan lori tersebut serta pemandunya, 56.
“Susulan serbuan pertama, sekitar pukul 6.05 petang pada 29 Oktober, sepasukan anggota dari Cawangan Siasatan Khas D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara telah membuat tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun di sebuah premis di Taman Sri Skudai,” katanya dalam sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi, Johor Bahru, hari ini.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek berkenaan merupakan majikan kepada suspek pertama yang mengendalikan segala urusan membawa tayar tidak bercukai kastam masuk ke Malaysia dari Singapura.
Beliau memberitahu, dalam serbuan itu pihaknya merampas 727 pelbagai jenis saiz tayar bernilai RM697,759 dan sebuah lori bernilai RM150,000, jumlah keseluruhan rampasan RM847,759.
Menurutnya, semakan ke atas kedua-dua suspek mendapati tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.
Jelasnya, suspek pertama direman selama tujuh hari dari 29 Oktober sehingga Khamis manakala suspek kedua direman dua hari pada 30 dan 31 Oktober lalu.
“Dalam kes ini kita tidak menolak terdapat penglibatan ‘orang dalam’ di CIQ BSI yang membolehkan mereka memboloskan diri. Lori yang berjaya meloloskan diri ini menggunakan laluan khas yang telah diisytiharkan tanpa muatan.
“Kita percaya pemandunya diberikan kad akses untuk dibenarkan melalui laluan tersebut. Bagaimanapun ini masih dalam siasatan,” katanya.
Katanya lagi, sindiket itu dipercayai sudah beroperasi kira-kira enam hingga tujuh bulan lalu dan tidak menafikan terdapat barang lain yang diseludup masuk dengan modus operandi sama.
Kes tersebut katanya, disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan memaklumkan, PPM Wilayah Dua akam sentiasa meningkatkan pengoperasian dan memperketatkan pengawalan negara daripada dibolisi sindiket penyeludupan.
Leave a Reply