PEMIMPIN parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang baru setahun jagung, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara terbuka mengecam keputusan Pakatan Harapan (PH) menerima dua daripada empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang berpaling tadah.
Ahli Parlimen Muar itu tidak bersetuju dengan pengumuman Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin menerima bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
Malah, Syed Saddiq mengungkit bahawa beliau menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri dari PH.
“Di sebalik segala yang kita lalui bersama, nampaknya gabungan PH yang saya bekerjasama dengan rapat lebih gemar berunding dengan mereka yang melompat parti berbanding sekutu-sekutu yang rapat dan setia seperti saya.
“Mereka lebih menghargai katak politik yang tidak berprinsip dan ini benar-benar tragis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 27 Oktober lalu, Syed Saddiq menyuarakan hasrat parti MUDA yang masih belum disahkan pendaftaran untuk bertanding mewakili PH pada PRN Melaka.
Walau bagaimanapun, hasrat itu seolah-olah tidak dialu-alukan oleh sayap pemuda dalam kem pembangkang sendiri.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad secara terbuka menyatakan kesangsiannya terhadap motif Muda meletakkan calon mewakili PH.
Pada pandangan beliau, sudah memadai bagi PH meletakkan calon-calon dari PKR, DAP dan PAN sahaja di Melaka.
Walau bagaimanapun, dua hari kemudian, Anwar mengumumkan, PH hanya akan meletakkan calon-calon dari PKR, DAP dan PAN sahaja.
Dengan pengumuman Anwar itu, peluang untuk parti MUDA bertanding buat kali pertama dalam pilihan raya di negara ini menjadi sangat tipis.
Pada masa yang sama, Anwar memberitahu, perbincangan antara PH dengan bekas-bekas ADUN Melaka yang berpaling tadah masih berlangsung.
Selain Syed Saddiq, bantahan turut disuarakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
PH kini berada dalam dilema memandangkan empat bekas ADUN terbabit menyokong usaha mereka membentuk kerajaan negeri Melaka yang akhirnya terbantut apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.
Leave a Reply