Oleh RAHIMI MOHAMAD
MURID dan pelajar tetap diberikan kelonggaran dalam aspek pemakaian ketika hadir ke sekolah sehingga sesi persekolahan berakhir pada pertengahan Disember ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kelonggaran itu telah dinyatakan sebelum ini bahawa mereka dibenarkan untuk mengenakan apa sahaja pakaian yang sopan ke sekolah.
Bagaimanapun kata beliau, masih terdapat rungutan daripada ibu bapa mengenai segelintir guru yang menetapkan syarat agar murid perlu mengenakan uniform sekolah yang lengkap.
“Saya tekankan sekali lagi bahawa seperti dinyatakan sebelum ini kita benarkan murid-murid untuk berpakaian yang sesuai serta sopan dan kemas sehingga tempoh akhir tahun persekolahan.
“Ini penting kerana kita dapat aduan ada yang beritahu cikgu suruh pakai baju sekian-sekian, kasut sekolah betul-betul sedangkan sebahagian mereka ini ada yang baju pun sudah tak muat,” katanya ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Semasih, Panchor di Pagoh hari ini.
Semalam lebih 1.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah melibatkan empat negeri yang sudah beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) memulakan sesi persekolahan.
Jumlah tersebut merangkumi 694,531 murid sekolah rendah membabitkan Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) dan 652,148 pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat.
Pada 21 September lalu, Radzi memaklumkan murid-murid yang kembali mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Oktober tidak diwajibkan untuk memakai pakaian seragam sekolah.
Sementara itu, ujar beliau, pihak sekolah seharusnya memudahkan urusan kehadiran murid ekoran kekangan yang dihadapi ibu bapa tatkala pembukaan sekolah di waktu pandemik.
“Saya mohon pihak sekolah khususnya guru-guru pastikan anak murid dimudahkan kehadiran mereka ke sekolah. Kita tak nak tetapkan hari tertentu pakai pakaian tertentu, kalau tak boleh pakai misalnya kena beritahu mak ayah dan sebagainya.
“Ini mungkin memberikan satu bebanan kepada ibu bapa khususnya mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.
Leave a Reply