Dr. Radzi Jidin sesi

Pastikan sistem pengudaraan di bilik guru dalam keadaan baik

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEMUA sekolah perlu memastikan bilik guru mempunyai sistem pengudaraan yang baik bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan Pendidikan (KPM), Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, perkara itu amat ditekankan selepas arahan sama dikeluarkan terhadap bilik darjah sebelum ini bagi memastikan pengudaraan yang baik dan selamat untuk pelajar.

“Pengudaraan ini perlu diberikan perhatian khusus, sebelum ini ramai yang keliru sedikit tetapi akhirnya semua pihak dapat memahami

kepentingan pengudaraan yang baik dan memastikan tahap pengudaraan di sekolah berada pada tahap paling optimum.

“Sebelum ini pengudaraan yang baik di bilik darjah dah selesai tetapi di bilik guru yang gunakan penghawa dingin sebagai contoh, sebaiknya ada pengudaraan dengan membuka tingkap bagi membolehkan keadaan lebih untuk guru-guru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Semasih, Panchor, Muar hari ini.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah selesai melengkapkan pemilihan guru bagi Fasa 1 pengambilan secara one-off.

Katanya, kriteria pemilihan awal itu adalah berlandaskan calon yang bakal mengajar subjek penting di sekolah serta mempunyai latar belakang dalam pengajian pendidikan.

“Fasa 1 telah dipilih dan kita tak ikut berapa ramai, kita berpandukan pada susunan subjek, setelah perkara ini tercapai, baru kita lihat graduan yang tidak ada latar belakang pendidik.

“Sebab itu kita buat secara berperingkat, ada fasa yang hanya memerlukan ratusan tenaga pengajar namun ada fasa yang perlukan beribu, justeru kita perlu lihat keperluan subjek dalam fasa tersebut,” katanya.

Mengenai Bajet 2022, beliau berpuas hati dan berterima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri kerana KKM mendapat peruntukan besar iaitu 16 peratus daripada keseluruhan bajet berkenaan.

Jelas beliau, pelbagai pengumuman penting dalam bajet tahun depan itu yang akan memberi manfaat terutama membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan di 10,000 buah sekolah seluruh negara.

“Menerusi Bajet 2022 ini juga RM50 juta diperuntukkan untuk murid berkeperluan khas. Ini perkara yang sentiasa kita tekankan, pada tahun ini (menerusi Bajet 2021) kita memperoleh RM45 juta manakala pada tahun depan (menerusi Bajet 2022) kita memperoleh RM50 juta,” katanya.

Katanya, dana itu akan digunakan untuk segmen-segmen baharu dalam melonjakkan pendidikan khas tersebut agar pelajar tidak ketinggalan.

“Dalam konteks kemasukan sekolah tahun depan, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pemberian susu setiap hari kekal manakala bantuan persekolahan dinaikkan daripada RM100 kepada RM150,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *