kerjasama politik pertembungan PAS

PRN Melaka: Rundingan Bersatu, PAS, UMNO cari penyelesaian terbaik

prn melaka

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi kepercayaan penuh terhadap rundingan antara Bersatu, Pas dan UMNO bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya memberi kepercayaan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam rundingan tersebut untuk mendapatkan keputusan terbaik bagi semua pihak.

“Namun begitu bagi pihak Perikatan Nasional (PN), kita bersedia dalam apa jua keadaan untuk menghadapi PRN kali ini.

“Kalau boleh kita tak nak pilihan raya. Kami bagi pihak kementerian ini hendak fokus kepada pengoperasian semula sekolah,” ujar beliau yang juga Menteri Kanan Pendidikan, mengulas mengenai rundingan antara tiga parti tersebut yang sedang berjalan ketika ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Libat Urus (SLU) Kementerian Pendidikan (KPM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, Melaka, hari ini.

Mengenai SLU tersebut, Dr. Radzi berkata, penerangan berkenaan konsep #SekolahKuSEJAHTERA yang akan dilaksanakan KPM diberikan bagi memberi kefahaman sepenuhnya.

“Kita turun ke bawah berbincang dengan ibu bapa bagaiamankah cara terbaik untuk kita memastikan konsep #SekolahKuSEJAHTERA ini dapat dilaksanakan dengan baik.

“#SekolahKuSEJAHTERA secara umumnya adalah usaha untuk menerapkan nilai-nilai murni dan penting dalam kehidupan ini kepada anak-anak kita di sekolah dari peringkat umur mereka masih kecil.

“Maknanya anak-anak di peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menenngah didedahkan dengan konsep-konsep penting dalam kehidupan, apabila sampai masanya pihak kementerian akan menjelaskan konsep-konsep ini dan penerapannya di sekolah,” katanya.

Jelasnya, konsep itu bukan satu mata pelajaran baharu dan pihaknya yakin penerapan secara semula jadi di sekolah akan membolehkan nilai-nilai murni dan penting dalam kehidupan disemai sekali gus menjadi satu norma baharu generasi akan datang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *