DALAM masa seminggu menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kem Pakatan Harapan (PH) kelihatan mula berantakan dan menyerang sesama sendiri.
Hari ini, bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli secara terbuka menghentam sekutu-sekutunya dari Parti Amanah Negara (PAN) ekoran terdapat kemungkinan PH akan mengutip tiga bekas ADUN Melaka yang berpaling tadah.
Seperti yang dibayangkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, tiga bekas ADUN terbabit iaitu Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan dan Datuk Noor Effandi Ahmad masih berpeluang menjadi calon PH pada PRN Melaka.
Anwar berpandangan, ketiga-ketiga mereka boleh menarik sokongan pengundi bagi memastikan Melaka jatuh ke tangan PH sekali lagi.
Walau bagaimanapun, Rafizi agak keberatan untuk mengecam bos besarnya dalam PKR itu.
Sebaliknya, beliau yang kini tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti menghalakan serangan terhadap Presiden PAN, Mohamad Sabu dan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.
“Yang berkeras nak ambil katak-katak untuk PRN Melaka, selain 2 – 3 kerat pimpinan PKR adalah Mat Sabu dan Adly dari Amanah.
“Alasannya bagi lonjakan seperti Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) konon bagi lonjakan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Yang kena maki dan jawab, Anwar Ibrahim.
“Mat Sabu tolonglah jawab sekali, jangan bising mesyuarat PH je,” katanya dalam ciapan Twitter, hari ini.
Sementara itu, bekas Penyelaras PH Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengingatkan Rafizi bahawa PH berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) semasa di bawah pimpinan Dr Mahathir.
Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan itu menambah, Anwar sudah berkali-kali cuba menewaskan BN tetapi semuanya gagal.
“Pada PRU-14 sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berganding bahu dengan PH sudah pasti mereka akan tewas lagi dalam pilihan raya umum negara kita.
“Sama-sama kita saksikan pada PRU-15 kelak tanpa penglibatan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan PH setakat mana mereka boleh kecapi kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Leave a Reply