Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
TENTERA Darat Malaysia (TDM) menahan 52 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia di tepi pantai Pasir Logok, Kota Tinggi, hari ini.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan memberitahu, pada pukul 2.30 pagi anggota petugas Pos Pemerhati mengesan kehadiran mereka sebelum sebelum menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) menjejakinya.
“QRF melaksanakan serbuan dan berjaya menahan 22 PATI yang baru mendarat.
“Pada pukul 4 pagi, 26 lagi PATI ditahan sekitar lokasi berhampiran manakala tiga lagi PATI turut ditahan pada pukul 9.30 pagi dan seorang PATI pada pukul 11.40 pagi.
“Kesemua 52 PATI tersebut terdiri daripada 44 Lelaki dan lapan wanita warganegara Indonesia berusia sekitar 19 hingga 53 tahun dipercayai baharu saja tiba dan cuba memasuki negara ini menerusi jalan yang tidak sah,” jelas kenyataan tersebut, hari ini.
Tambah kenyataan itu, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM20,117 melibatkan RM15,713, matawang rupiah Indonesia IDR29,668,152 (RM8,640) bersama-sama 35 buah telefon bimbit serta barang kemas.
Kesemua PATI katanya, ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan serta saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.
Laporan kejadian tersebut pula katanya, telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.
“Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI sekitar kawasan tangkapan,” katanya.
Leave a Reply