Geng Ashmer menyamar jadi penghantar makanan ragut rantai emas

KEGIATAN jenayah ragut rantai emas di sekitar Kuala Lumpur dengan menyamar sebagai penghantar makanan tumpas apabila polis berjaya menangkap empat ahli Geng Ashmer hujung bulan lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kumpulan terbabit yang bergiat sejak lima bulan lalu menggunakan beg penghantar makanan untuk mengelakkan mangsa curiga.

Menurut beliau, empat suspek berumur antara 26 hingga 51 tahun diberkas dalam tiga serbuan berasingan Ops Rentap di sekitar Sentul, Wangsa Maju, dan Gombak mulai 23 hingga 28 Oktober lalu.

“Kegiatan ini didalangi oleh tiga lelaki tempatan yang menyasarkan kawasan orang ramai yang memakai rantai leher emas. Suspek menyasarkan mangsa yang memakai baju berkolar bulat dan rantai yang agak tebal untuk diragut.

“Salah seorang suspek akan bertindak untuk ‘menjaga line’ manakala seorang lagi bertindak sebagai ‘striker’ untuk meragut rantai mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

Eng Lai menambah, hasil ragut berkenaan akan dijual kepada seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun di Selayang Baru, manakala wang tersebut dibahagikan sesama mereka.

Beliau memberitahu, susulan tangkapan itu, polis merampas beberapa utas barang kemas dianggarkan bernilai RM55,000.

“Turut dirampas ialah dua buah motosikal jenis Yamaha LC135, selain Yamaha Y15 (dua), topi keledar (lima), telefon bimbit (enam), beg penghantaran makanan (dua) serta 36 utas rantai leher warna kekuningan disyaki emas dan sebuah alat penimbang,” jelasnya.

Eng Lai berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun tanpa senjata) untuk membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, beliau memberitahu, seramai empat lelaki ditahan kerana menjual minuman keras yang diseludup dari negara jiran dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Sentul Pasar, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada minuman keras seludup dianggarkan bernilai RM100,000 yang berjaya dirampas selepas berjaya selepas menyerbu sebuah premis di Jalan Sentul Pasar ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Menurut Eng Lai, suspek yang berusia antara 24 hingga 27 tahun itu terdiri daripada dua warga tempatan dan selebihnya pendatang asing.

“Siasatan awal mendapati modus operandi kegiatan ini berselindung di sebalik premis perniagaan pemborong minuman keras dan dipercayai beroperasi sejak setahun yang lalu.

“Pihak polis berjaya merampas sebanyak 2,720 botol minuman keras pelbagai jenama dipercayai barang tidak bercukai kastam yang nilai dan cukainya dianggarkan sebanyak RM100,000,” katanya.

Tambah Eng Lai, kesemua suspek direman tiga hari bermula Jumaat untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1965 kerana memiliki, menyimpan mengangkut, menghantar, mengedar, menyorok serta menjual minuman keras seludup yang membawa hukuman denda tidak lebih 20 kali ganda jumlah cukai kastam atau RM500,000 mengikut jumlah paling besar,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *