Hamzah

Empat pintu antarabangsa baharu bakal beroperasi-Hamzah

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PEMBINAAN fasiliti di empat pintu masuk antarabangsa negara yang masih dalam proses dijadual siap sepenuhnya pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, projek tersebut melibatkan di Telok Melano dan Baleh di Sarawak manakala masing-masing satu di Lembah Silika, Terengganu dan Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast, Kota Tinggi.

“Kesemua fasiliti pintu masuk ini kita jangka siap hujung ini atau awal tahun depan yang mana pembinaannya sudah mula sejak Julai lalu.

“Usaha ini juga adalah bagi membuktikan bahawa kerajaan bersedia dan mahu memberi ruang untuk orang masuk di samping sektor ekonomi di kawasan itu boleh berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita selepas melawat Terminal Feri Desaru Coast, Kota Tinggi, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan kini dalam usaha mewartakan pintu masuk imigresen baharu melibatkan laluan laut di Desaru Coast, Johor dan Terengganu selain laluan darat di kedua-dua lokasi di Sarawak.

Pembukaan pintu masuk itu juga akan dilakukan bersama-sama pembinaan lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah dan Sarawak sebagai usaha usaha bagi membasmi masalah di sempadan.

Terminal Feri Desaru Coast di Kota Tinggi yang dalam pembinaan merupakan satu daripada empat pintu masuk antarabangsa dijangka siap hujung tahun ini atau awal tahun depan. Foto Bernama

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pada masa ini perkembangan terkini bagi kesemua lokasi pintu masuk itu juga tidak menunjukkan sebarang masalah besar tetapi beberapa isu berkaitan faktor kawasan di Sarawak.

Jelasanya, di Sarawak ini ada masalah kerana terletak di pedalaman terutama jarak antara pintu masuk itu dengan jalan besar agak jauh.

“Bagaimanapun, perkara ini sudah kita bincangkan bersama Kerajaan Negeri Sarawak dan jika tiada masalah ia akan berjalan seperti biasa dan akan umumkan secepat mungkin,” katanya.

Berkenaan Terminal Feri Desaru Coast yang dijangka beroperasi tidak lama lagi, Hamzah memaklumkan persediaan berkaitan perkara itu sedang dilakukan.

“Semalam semasa Kementerian Kewangan umumkan dalam Bajet 2022, Terminal Feri Desaru Coast ini ada disebutkan dan itu adalah perkara baik dan menunjukkan yang kita sudah bersedia untuk dibuka.

“Apabila perkara ini juga dimasukkan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) 100 hari saya, terbukti bahawa kita sudah bersedia dan bila pengumuman untuk kita buka sempadan dibuat nanti Terminal Feri Desaru Coast ini menjadi salah satu tumpuan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *