SEORANG bayi lelaki rentung dalam kebakaran di rumah mereka Jalan Dua, Pusat Bandar Sandakan, Sandakan, malam tadi.
Bayi berkenaan yang dikenali seabgai Adam berusia kira-kira satu tahun tidak dapat diselamatkan dalam kejadian pada pukul 11.05 malam.
Difahamkan, rumah yang disewa itu dihuni kira-kira 20 penghuni termasuk keluarga bayi berkenaan.
Ketika kejadian, ibu bapa bayi berkenaan tidak berada rumah dan mangsa dikatakan dijaga oleh adik-beradiknya yang lain.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 11.09 malam.
Menurutnya, sejurus itu 18 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian menggunakan dua jentera penyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak di tingkat tiga bangunan enam tingkat berkenaan.
“Pada pukul 12.24 tengah malam, api berjaya dikawal dan pemeriksaan lanjut menemui bayi rentung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jimmy berkata, mayat bayi itu kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke bilik mayat Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, punca kejadian serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.
Leave a Reply